[VIDEO] Mayat wanita asing mati dibunuh ditemukan tepi lif Desa Mentari, polis guna anjing K9 kesan bukti


  • 112
  • Isnin, 29 Jan 2024

Mayat wanita berusia 20-an itu kini sedang dibedah siasat bagi menentukan punca kematian.

POLIS mengesyaki penemuan mayat seorang wanita warga Indonesia yang dijumpai dengan kesan kecederaan pada badan di tepi tangga lif Blok 5, Desa Mentari, Petaling Jaya, Selangor pada pagi Isnin adalah akibat dibunuh.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mayat wanita berusia 20-an itu kini sedang dibedah siasat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPPUM), Kuala Lumpur bagi menentukan punca kematian.

“Kita percaya mangsa dibunuh namun perlu menunggu keputusan bedah siasat,” katanya seperti yang dilaporkan Malaysia Gazette pada Isnin.

Mohamad Fakhrudin sebelum itu dilaporkan berkata, polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat mangsa sekitar pukul 6.30 pagi.

BACA LAGI: ‘Teman lelaki durjana’, bekas posmen angguk faham ketika didakwa bunuh Bella

BACA LAGI: [VIDEO] Teman wanita dakwa ditolak kekasih jatuh jambatan P.Pinang, polis siasat cubaan bunuh

Susulan daripada itu, sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum pemeriksaan polis telah menemui seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah di tepi tangga lif Blok 5, Desa Mentari.

“Tahap kecederaan yang dialami mangsa tidak dapat dipastikan lagi dan masih menunggu pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk menjalankan siasatan," ujarnya.

Katanya, setakat ini suspek masih belum dikenal pasti dengan polis kini sedang membuat pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi untuk membantu siasatan lanjut.

“Kita juga akan merakam keterangan bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian jenayah ini."

Mohamad Fakhrudin turut meminta saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan tampil membantu siasatan.

Dalam pada itu, Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya turut menggunakan pasukan Unit Anjing Pengesan K9 bagi mengesan bahan bukti termasuk senjata digunakan suspek untuk membunuh mangsa.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram