USAHA Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk terus membantu murid berkeperluan pendidikan khas dibuktikan dengan Perasmian Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 (KLIA’2024) di Aeon Alpha Angle, Wangsa Maju pada 19 Oktober (Sabtu).
Program yang dilaksanakan selama dua hari itu berhasrat dapat menjadi platform yang menghubungkan masyarakat umum dengan intervensi awal autisme bagi menyerlahkan potensi dan kebolehan kanak-kanak autisme.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, menerusi perasmian tersebut, satu penekanan diberikan terhadap tiga aspek utama program dengan yang pertama, memperluaskan akses kepada pendidikan yang berkualiti.
BACA LAGI: Temui daya tarikan Pulau Pangkor, dari Kota Belanda hingga ke Pantai Pasir Bogak
Fadhlina ketika berucap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Karnival Intervensi Awal Lestari 2024.
Menurutnya, aspek kedua pula bagi memastikan penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam proses pendidikan dan ketiga, memberikan peluang kepada masyarakat untuk memanfaatkan pelbagai inisiatif serta bahan pameran yang terdapat di reruai-reruai pameran.
"Perasmian ini turut mendapat sokongan penuh daripada KPM, dengan harapan program seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa.
"Program ini sangat penting dalam usaha membina keyakinan, kepercayaan, dan memperkukuhkan lagi pendidikan kanak-kanak.
"Ia khususnya dalam aspek intervensi awal, yang merupakan satu langkah penting bagi memastikan pendidikan inklusif dapat diteruskan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Karnival Intervensi Awal Lestari 2024.
Fadhlina merasmikan Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 (KLIA’2024) di Aeon Alpha Angle, Wangsa Maju.
Sementara itu, Fadhlina turut komited untuk memastikan tiada anak-anak terpinggir untuk menerima bantuan dan kemudahan di sekolah selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025 dengan pengumuman sejumlah besar kewangan kepada kementerian sememangnya sesuatu yang dinanti-nanti.
"KPM telah menerima peruntukan terbesar dalam belanjawan kali ini. Ini menunjukkan komitmen yang tinggi oleh kerajaan dalam memperkasakan sistem pendidikan negara.
"Antara inisiatif utama yang diumumkan termasuk pembinaan sekolah-sekolah baharu serta penambahbaikan sekolah-sekolah daif di Sabah dan Sarawak.
"Di samping itu, 11 Pusat Permata yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak autisme akan dibina, dengan dua daripadanya terletak di Johor dan Sabah.
"Selain itu, kenaikan elaun bagi siswa guru IPG turut diumumkan, menandakan usaha berterusan dalam meningkatkan kebajikan guru dan pelajar.
"Kami rakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas peruntukan ini. Ia memberikan dimensi baharu dalam memastikan pendidikan yang inklusif untuk semua segmen anak-anak kita, khususnya dalam aspek intervensi awal," tambahnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram