PULAU Pangkor yang terletak di Perak merupakan destinasi yang patut dikunjungi sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Manakan tidak, pengunjung yang sudah merasai keindahan alamnya, ketenangan suasana serta warisan sejarahnya yang unik pastinya berasa mahu kembali mengunjungi tempat itu.
Untuk pergi ke Pulau Pangkor, biasanya pengunjung akan menaiki feri dari jeti yang berada di Lumut.
BACA LAGI: Belanjawan 2025: Peruntukan lebih besar beri nyawa, 'perhebat' aktiviti pelancongan domestik
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Basuh kaki pun kena bayar’, pelancong ingin ke Indonesia harus hati-hati dengan ‘pungli’
Selain bergerak bersama keluarga atau insan tersayang, pulau yang tenang itu juga amat sesuai bagi individu yang memerlukan masa untuk bersendirian.
Di Pulau Pangkor, pengunjung boleh menyewa motosikal, basikal atau menaiki teksi untuk bergerak di sekitar pulau.
Berikut adalah sebab-sebab mengapa pengunjung patut melawat beberapa tempat menarik di Pulau Pangkor:
1. Kota Belanda
Pengunjung patut melawat Kota Belanda kerana ia merupakan warisan sejarah yang dibina pada abad ke-17 oleh penjajah Belanda.
Kota itu memberi peluang kepada pelawat untuk menyelami sejarah penjajahan di Malaysia, khususnya peranan Pulau Pangkor sebagai lokasi strategik dalam perdagangan bijih timah.
Bagi peminat sejarah, ia menawarkan pengalaman yang mendalam tentang warisan kolonial dan pengaruh Eropah di rantau ini.
Masjid terapung Pulau Pangkor mula dibina pada 7 Mac 2014.
2. Masjid Al-Badr 1000 Selawat
Masjid itu bukan sahaja tempat beribadat, tetapi juga simbol seni bina Islam moden dengan hiasan kaligrafi selawat yang menakjubkan.
Pengunjung yang menghargai seni dan budaya Islam akan menikmati keindahan seni ukiran serta suasana damai di situ.
Masjid itu juga disifatkan sebagai perkara yang unik kerana kedudukannya yang terapung menjadikan pemandangan sekitar masjid sebagai latar belakang yang memukau.
3. Snorkel di Pulau Giam
Pulau Giam terkenal dengan airnya yang jernih dan keindahan bawah laut yang sesuai untuk aktiviti bersnokel.
Walaupun terumbu karangnya sederhana, pengalaman melihat pelbagai spesies ikan dan batuan berbentuk unik seperti batu buaya memberikan pengalaman yang menarik bagi pencinta aktiviti air dan alam.
Aktiviti snorkeling di situ sesuai untuk mereka yang ingin bersantai sambil menikmati keindahan alam laut.
Pantai Pasir Bogak memiliki suasana yang tenang dan permandangan yang indah.
4. Pantai Pasir Bogak
Pantai Pasir Bogak adalah pantai yang ideal untuk aktiviti santai bersama keluarga.
Pengunjung boleh berenang, berkelah atau menikmati sukan air seperti jet ski dan menaiki bot.
Suasana pantai yang tenang dengan pemandangan laut yang menakjubkan menjadikannya pilihan popular untuk pelancong yang ingin berehat atau menikmati aktiviti pantai.
Pengunjung boleh merasai peluang untuk memberi makan burung enggang di Pulau Pangkor.
5. Hornbill Feeding
Pertunjukan memberi makan burung enggang adalah pengalaman unik di Pulau Pangkor yang jarang ditemui di tempat lain.
Pengunjung berpeluang melihat burung enggang dengan dekat dan memberi makan kepada spesies burung yang jarang ditemui itu menjadikannya aktiviti menarik untuk pencinta alam.
Itu adalah satu cara yang baik untuk mendekatkan diri dengan alam semula jadi sambil belajar tentang hidupan liar tempatan.
Tempat-tempat itu menawarkan pengalaman yang pelbagai, dari sejarah dan budaya hingga keindahan alam semula jadi yang menjadikan Pulau Pangkor destinasi pelancongan yang serba lengkap untuk semua jenis pelancong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram