Belanjawan 2025: Pakar jangka Malaysia perlu 10 tahun sebelum kembali capai lebihan fiskal seimbang


  • Bizz
  • Jumaat, 18 Okt 2024

Negara dengan fiskal yang mapan juga dapat membolehkan ia bersedia untuk berdepan sebarang cabaran ekonomi dan memastikan pertumbuhan yang berdaya saing. — Gambar hiasan

NEGARA dijangka memerlukan tempoh 10 tahun lagi sebelum boleh merekodkan lebihan fiskal dalam belanjawan tahunan sekali gus mencapai tahap belanjawan lebih seimbang.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia mencatatkan lebihan fiskal adalah pada 1997 iaitu apabila merekodkan lebihan fiskal 2.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, matlamat itu boleh dicapai dengan mengambil kira dasar kerajaan ketika ini yang sudah mula mengamalkan dasar fiskal lebih berdisiplin.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Ujarnya, perkembangan positif itu tercermin menerusi sasaran yang diletakkan agar negara terus konsisten mengurangkan defisit fiskalnya berbanding yang dicatatkan ketika ini.

"Kita pun dah mulakan apa yang dipanggil disiplin fiskal yang tujuannya untuk mencapai belanjawan seimbang. Tapi mungkin ini (lebihan fiskal) akan ambil masa sekitar 10 tahun lagi sebelum dicapai.

"Sebab kita pada tahun lepas capai 5 peratus defisit fiskal dan mungkin untuk tahun ini kita akan turun menjadi 4.5 peratus atau 5.5 peratus.

"Kemudian kita juga akan sasarkan menjelang 2026 untuk defisit fiskal itu terus menurun hingga mencapai 3 peratus. Jadi kita mungkin akan terlebih capai belanjawan seimbang itu sekitar 2030," katanya kepada Majoriti.

– Bernama

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat akan membentangkan Belanjawan 2025 yang akan turut menetapkan sasaran fiskal kerajaan pada tahun depan.

Belanjawan seimbang bermaksud jumlah perbelanjaan yang dilakukan kerajaan adalah bersamaan dengan nilai hasil yang diperoleh.

Pengukuhan kedudukan fiskal negara cukup penting khususnya dalam usaha menarik dan meyakinkan sektor pelaburan terhadap ekonomi Malaysia.

Di samping itu, negara dengan fiskal yang mapan juga dapat membolehkan ia bersedia untuk berdepan sebarang cabaran ekonomi dan memastikan pertumbuhan yang berdaya saing.

Untuk rekod, pada tahun lalu, antara negara yang merekodkan lebihan fiskal adalah Norway, Oman, Qatar dan Denmark.

Di Asia Tenggara pula, antara negara yang konsisten mencatatkan lebihan fiskal adalah Singapura.

Bagaimanapun kedudukan fiskal sesebuah negara akan berubah setiap tahun mengikut keperluan semasa.

Sebagai contoh, banyak negara direkodkan mencatat defisit fiskal ketika dunia berdepan dengan krisis antaranya seperti pandemik Covid-19 dan Krisis Ekonomi 2008.

Langkah meningkatkan perbelanjaan itu lazimnya dilakukan bagi menyuntik daya saing dan melindungi ekonomi domestik.

Dalam pada itu, Barjoyai berkata, penetapan untuk mencapai belanjawan seimbang merupakan satu sasaran yang baik khususnya dalam membentuk disiplin bagi mengurus kewangan kerajaan.

Prof Dr Barjoyai Bardai

Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan UNIRAZAK, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara tersebut bukan satu-satunya aspek yang perlu diambil kira khususnya dalam dasar perbelanjaan kerajaan.

"Bila kita ada belanjawan lebihan atau seimbang, itu maknanya kita mempunyai disiplin kewangan yang ketat, bagus berhemah. Tapi itu tidak menjamin ekonomi kita menjadi lebih baik.

"Sebab belanjawan seimbang ini sebenarnya hanya memastikan bahawa kita berbelanja ikut ukuran baju ikut ukuran. Jadi yang pentingnya adalah apakah matlamat ekonomi kita?

"Di Malaysia, kita punya matlamat ekonomi ialah kesejahteraan rakyat. Jadi mungkin kita perlu berbelanja lebih untuk memastikan pertumbuhan ekonomi.

"Kalau kita tengok di Singapura, ada juga tahun yang mereka mengalami defisit bajet. Di Jepun pun sama. Jadi kadang-kadang ada setengah negara terpaksa mengenalkan defisit bajet untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram