[VIDEO] Tiga remaja 17 tahun cuba lari pemeriksaan polis di Rawang tiada lesen memandu


  • 112
  • Jumaat, 30 Ogos 2024

Tangkap layar daripada video tular memaparkan kesemua remaja itu ditahan pihak polis.

CUBAAN tiga remaja lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan polis gagal selepas mereka ditahan dalam kejadian di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Arifin Mohammad Nasir berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 31 saat yang tular di media sosial.

“Dalam rakaman video itu memaparkan anggota polis sedang menahan tiga lelaki di lokasi itu. Hasil siasatan dilakukan mendapati kejadian itu berlaku pukul 12.30 tengah hari membabitkan anggota polis trafik yang sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.

“Anggota polis itu kemudian terserempak dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI: 'Rasa macam adiwira', jurukimpal tubuh Pasukan Bomba Sukarela jamin keselamatan penduduk Rawang

BACA LAGI: Kanak-kanak 9 tahun lemas terjatuh longkang di Rawang

Menurutnya, anggota polis trafik berkenaan kemudian mengarahkan pemandu kereta supaya memberhentikan kenderaan tetapi pemandu terus memecut laju.

“Anggota polis trafik mengejar kenderaan itu di sekitar Bandar Tasik Puteri sebelum berjaya menahan kereta terbabit. Tiga remaja lelaki berusia lingkungan 17 tahun yang menaiki kenderaan itu kemudian ditahan,” katanya.

Noor Ariffin berkata, hasil pemeriksaan dilakukan mendapati pemandu kereta itu tidak mempunyai lesen memandu.

“Semakan dilakukan mendapati ketiga-tiga remaja berkenaan adalah pelajar sekolah dengan kenderaan dipandu terbabit adalah milik salah seorang suspek terbabit.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana melanggar arahan penjawat awam. Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara berbahaya,” katanya.

Menurutnya, pemilik kenderaan terbabit juga akan dikenakan saman.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ishak Abu Bakar di talian 019-6817310 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram