Usul subsidi khas untuk pesara polis mulakan bisnes antara harapan Belanjawan 2025


  • 112
  • Jumaat, 18 Okt 2024

Abdul Rashid menyeru agar Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada Jumaat ini dapat memberi tumpuan khusus terhadap penambahbaikan peruntukan kepada pesara dan veteran yang sering kali terabai.

BEKAS Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun, menyuarakan keprihatinannya terhadap keperluan untuk meningkatkan sokongan kepada pesara anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sehubungan itu, beliau menyeru agar Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada Jumaat ini dapat memberi tumpuan khusus terhadap penambahbaikan peruntukan kepada pesara dan veteran yang sering kali terabai.

Abdul Rashid mencadangkan agar kerajaan menyediakan satu subsidi khas buat pesara dan veteran unit beruniform, terutamanya mereka yang tidak menerima pencen dan sukar untuk meneruskan kehidupan selepas bersara.

BACA LAGI: 'Tiada siapa boleh mengaku, saya bukan hero Lahad Datu'

BACA LAGI: Terpaksa menyelam seawal Subuh di Semporna, kesan tapak kaki dekat dinding jerat penjenayah 'wanted' di P.Pinang

316065793_498216165669654_447421777903518452_n

Datuk Abdul Rashid Harun

"Tidak dinafikan, ada pesara yang selepas berkhidmat kepada negara kini bergelut untuk bertahan, terutamanya dalam memulakan kehidupan baru atau menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

"Keperluan untuk membantu pesara bukanlah sekadar untuk memberikan ganjaran, tetapi memastikan mereka dapat terus berbakti kepada masyarakat.

"Ramai pesara, terutamanya bekas anggota polis dan tentera, masih ingin menyumbang kepada negara. Mereka hanya memerlukan sedikit bantuan, mungkin dalam bentuk subsidi atau insentif untuk memulakan perniagaan.

"Bantuan kecil ini boleh membawa impak besar kepada kehidupan mereka dan juga kepada masyarakat," katanya kepada Majoriti.

Beliau yang juga pemilik sebuah kem motivasi, Amazing Camp Legacy: Legends By Nature yang berlokasi di Lenggong, Perak mengakui bukan mudah untuk memulakan sebuah perniagaan.

"Sebagai contoh, saya kini berada di Lenggong, di kem motivasi yang saya sendiri tubuhkan. Namun, saya tidak menerima apa-apa bantuan untuk menggerakkan program ini atau membangunkan kem tersebut.

"Saya tidak memerlukan dana yang besar, hanya beberapa puluh ribu ringgit sahaja untuk menambah baik infrastruktur di sini. Tempat ini semakin dikenali, tetapi infrastruktur masih memerlukan pembaikan.

"Jadi, saya sangat memerlukan bantuan, tetapi tiada siapa yang datang bertanya tentang keperluan saya," ujarnya.

2916888

Abdul Rashid bersama peserta kem bina semangat di tapak perkhemahan Amazing Camp Legacy: Legends By Nature.

Selain daripada itu, bekas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang pernah terlibat secara langsung dalam menjaga keselamatan Sabah juga berharap agar dalam pembentangan Belanjawan 2025 kali ini memberi peruntukan tambahan dalam penambahbaikan keselamatan di kawasan-kawasan strategik seperti Sabah.

"Kawasan sempadan negeri itu terutama di Timur Sabah sentiasa menjadi isu kritikal.

"Keselamatan di Timur Sabah mesti sentiasa diperkukuhkan, terutamanya dalam situasi semasa yang memerlukan lebih banyak sumber dan teknologi terkini.

Bajet 2025 perlu menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk meningkatkan keselamatan di kawasan ini bagi mengelakkan sebarang ancaman yang boleh menggugat kedaulatan negara," katanya.

Beliau turut menekankan bahawa sebarang kelemahan dalam peralatan keselamatan perlu segera diatasi melalui bajet tambahan.

"Jika terdapat kekurangan, kerajaan mesti mengambil langkah untuk menambah baik dan memperkuatkan kawalan sempadan kita. Keselamatan rakyat dan negara tidak boleh diambil ringan," tambah beliau.

Dengan perhatian yang diberikan kepada isu keselamatan dan nasib pesara dalam Bajet 2025, Abdul Rashid berharap kerajaan akan mempertimbangkan peruntukan yang lebih komprehensif bagi memastikan keselamatan Sabah terjamin dan pesara anggota unit beruniform mendapat sokongan yang sewajarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram