MULA meniaga secara kecil-kecilan di tepi jalan dan tapak niaga, pelakon serta pelawak, Amir Raja Lawak kini boleh berbangga selepas beliau terus memajukan penglibatannya dalam perniagaan apabila membuka restoran menjual ayam goreng, francais AP Fried Chicken.
Beroperasi sejak penghujung September lalu, restoran pertamanya itu terletak di medan selera stadium Kota Bharu, Kelantan.
Berita mengenai pembukaannya turut dikongsikan Amir, 35, atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi di Facebooknya.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
"Assalamualaikum, dengan keberkatan penghulu segala hari, saya nak beritahu yang mana saya akan buka kedai di medan selera stadium Kota Bharu, Kelantan, lot kedai yang dekat tangga menghadap Hotel Perdana.
"“Bisnes kali ini saya akan jual ayam goreng, francais dari AP Fried Chicken, insya-ALLAH ada juga fries, burger, nasi dan lain-lain lagi. Mudah-mudahan diberkati ALLAH, dipermudahkan segala urusan kami dan kita semua. Amin,” kongsinya.
Amir ketika berada di hadapan restorannya yang penuh dengan pengunjung. — Facebook/Amir Raja Lawak
Amir yang sebelum ini dikenali dengan produk minuman air jagung berkata, idea untuk membuka restoran itu berlaku secara tidak dirancang selepas dia dihubungi oleh individu yang menawarkannya untuk membuka francais jualan ayam goreng tersebut.
"Ikutkan asalnya saya buat keputusan untuk balik meniaga di Kajang. Tapi kemudian ada satu hari saya terima kiriman mesej di TikTok, dia tanya minat tak nak buka restoran ayam goreng. Lepas itu saya pun katalah macam berminat.
"Tapi waktu itu dia ajak jumpa dulu untuk bincang macam mana perancangannya," katanya kepada Majoriti.
Selepas berjumpa, Amir yang juga merupakan anak kelahiran Kubang Kerian, Kelantan berkata, dia mula yakin terhadap rancangan dikemukakan individu terbabit meskipun masih belum begitu mahir terhadap selok belok perniagaan jualan makanan tersebut.
Ujarnya, perniagaan yang pernah dilakukannya sebelum ini tidak memerlukan kepada sistem pengurusan operasi seperti yang diperlukan dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Hidangan ayam goreng di restoran AP Fried Chicken dikendalikan Amir. — Facebook/Amir Raja Lawak
"Sebab kalau ikutkan perniagaan saya sebelum ini hanya sekitar pertukaran tunai. Itu sahaja, Saya tak biasa dengan sistem. Tapi kemudian individu tersebut cakap dia boleh bagi panduan dan tunjuk ajar," katanya yang turut dilantik sebagai duta AP Fried Chicken.
Dalam pada itu, Amir mengakui dia pada mulanya agak kekok untuk menguruskan operasi di restoran tersebut yang melibatkan seramai 11 orang pekerja.
"Saya pun memang tak biasa dengan pekerja. Sebab saya segan nak suruh-suruh dan bagi arahan dengan mereka.
"Masa hari pertama itu, nak panggil minta mereka suruh lap meja pun saya segan," katanya.
Dalam itu, Amir berkata restorannya menerima sambutan yang agak baik daripada bukan sahaja penduduk setempat, malah pelanggan yang datang dari luar negeri termasuk Pahang dan Terengganu.
Mula berniaga sejak 2012
Melihat kembali kepada perjalanannya dalam bidang perniagaan, Amir berkata, dia mula berniaga sejak 2012 dengan menjual secara kecil-kecilan di tapak niaga sekitar Lembah Klang.
Pada waktu itu, menurutnya, dia melakukan aktiviti tersebut bagi mengisi masa lapang ada pada ketika dia masih aktif di dalam bidang hiburan.
"Waktu itu macam-macam saya niaga. Dari jual buah potong, tudung dan roti sehinggalah jual air jagung pada 2017," katanya.
Menurut beliau, perniagaan air jagungnya yang dikenali dengan jenama Air Jagung Amirreka kini tertumpu di Lembah Klang dengan operasi melibatkan kira-kira lima cawangan.
Amir mula terkenal dengan perniagaan air jagungnya yang dikenali sebagai Air Jagung Amirreka. — Facebook/Amir Raja Lawak
Amir mengakui beliau agak berbangga dengan pencapaian yang berjaya dicapainya selepas kira-kira 12 tahun terbabit dalam dunia perniagaan.
"Orang kata memang macam agak bangga dengan diri. Tapi sebenarnya saya agak terkejut dengan benda ini sebab sama memang tak betul-betul lagi. Dia macam tiba-tiba juga. Jadi saya cuba sahajalah," katanya yang turut mengakui pendapatannya agak sudah bertambah lebih baik dan selesa berbanding ketika tempoh awal dia berniaga.
"Sekarang ini, walaupun agak sibuk, tapi masih ada waktu untuk bersama keluarga," ujarnya yang mendirikan rumah tangga bersama isterinya, Nur Intan Syafinaz Shaari pada 2015.
Bergerak ke hadapan, Amir berkata, dia turut mempunyai perancangan untuk mengembangkan perniagaan jualan ayam AP Fried Chicken tersebut yang kini tertumpu di Kelantan ke luar negeri termasuk di Lembah Klang.
"Ada ramai yang minta, dia cubalah buka antaranya dekat Puchong, Shah Alam dan Gombak. Jadi saya fikir kalau ada rezeki mungkin boleh cuba buka dekat kawasan tersebut," kata beliau.
Dalam pada itu, Amir berkata, dia terpaksa memberikan fokus terhadap perniagaannya meskipun ada menerima tawaran kerja di dalam industri hiburan.
"Sekarang saya fokus yang ini dulu. Ada tawaran, tapi saya tak ambil dulu sebab nak tumpu dekat sini sampai semua staf dan operasi dekat restoran dah ok. Sekarang ini masih di peringkat memerlukan tunjuk ajar," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram