Belanjawan 2025: Gaji minimum naik kepada RM1,700


  • Primer
  • Jumaat, 18 Okt 2024

Tahap gaji minimum baharu itu akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

KERAJAAN bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh 6 bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja.

BACA LAGI: Belanjawan 2025: Peruntukan RM800 juta Bantuan Awal Persekolahan buat 5.2 juta murid tak kira pendapatan ibu bapa

BACA LAGI: Belanjawan 2025: Peruntukan RM600 juta buat Nadma hadapi musibah banjir

6093670733545849278

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Umpamanya, gaji permulaan Juruteknik Industri dan Pengeluaran (RM2,290), Jurutera Mekanikal (RM3,380) dan Profesional Pereka Kandungan Kreatif (RM2,985).

"Selanjutnya, Dasar Gaji Progresif ialah ikhtiar Kerajaan Madani untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja. Dasar ini sudah mula dilaksana secara rintis pada Jun lalu dan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun hadapan.

"Dasar Gaji Progresif diperuntukkan RM200 juta dan akan memanfaatkan 50,000 pekerja," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Belanjawan kali ini merupakan yang ketiga dibentangkan beliau di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram