KERAJAAN memperuntukkan hampir RM550 juta sebagai persiapan rapi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bertujuan untuk mempergiat promosi dan aktiviti pelancongan di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dana yang diperuntukkan itu merangkumi penganjuran pelbagai aktiviti budaya, acara pelancongan dan peningkatan capaian penerbangan ke Malaysia.
Katanya lagi, peruntukan itu juga diberikan bagi memberi ruang untuk pemerkasaan ekonomi komuniti melalui seni, dengan usaha mempromosikan kraf tangan tempatan dan batik.
BACA LAGI: Belanjawan 2025: Peruntukan lebih besar beri nyawa, 'perhebat' aktiviti pelancongan domestik
BACA LAGI: [VIDEO] Rapid Shooting antara 5 aktiviti menarik boleh dilakukan di Taman Negara
Peruntukan untuk penambahbaikan kemudahan di Taman Negara Endau Rompin, Johor akan diberikan.
Perkara itu dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkasakan ekonomi setempat, selain mengekalkan warisan seni dan budaya negara.
Selain itu, Anwar berkata, sebanyak RM110 juta turut disediakan untuk melengkapkan kawasan pelancongan utama dan menjalin kerjasama dalam bidang ekopelancongan.
Antara projek yang akan mendapat manfaat termasuk penambahbaikan kemudahan di Taman Negara Endau Rompin, Johor; Pulau Redang, Terengganu; dan Pantai Tusan Bekenu, Sarawak.
Beliau menambah, kerjasama ekopelancongan dengan United Nations Development Programme (UNDP) dan Habitat Foundation juga akan diperhebatkan.
"Usaha pencalonan UNESCO juga akan diteruskan untuk Tapak Lombong Bijih Timah Sungai Lembing Pahang serta budaya perarakan Chingay dan tarian singa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Tidak hanya itu, Anwar berkata, Khazanah Nasional juga menyediakan dana sebanyak RM600 juta untuk memulihara dan mengangkat nilai bersejarah Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara.
"Perkara itu dibuat sebagai usaha memelihara status Kuala Lumpur sebagai bandar raya budaya dan kreatif.
"Inisiatif ini termasuk membina jambatan bertingkat yang akan menghubungkan Taman Botani Perdana dengan Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram