KERAJAAN mengumumkan peruntukan sebanyak RM230 juta bagi tujuan untuk menambah baik pembangunan sukan yang meliputi program Road To Gold untuk meneruskan misi mencari emas negara dalam kejohanan Olimpik dan sukan lain seperti bola sepak.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat berkata, dana berkenaan juga untuk membantu persiapan atlet para menjelang sukan para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025.
BACA LAGI: Belanjawan 2025: Pakar jangka Malaysia perlu 10 tahun sebelum kembali capai lebihan fiskal seimbang
BACA LAGI: Belanjawan 2025: Kejayaan Piala Dunia buka mata, arena takraw jadi kepentingan KBS
"Kita merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet yang berjuang di pentas Olimpik dan Paralimpik Paris. Ini termasuk pencapaian saudara Cheah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin yang berjaya merangkul pingat emas.
"Pembangunan sukan negara terus diperhebat dengan peruntukan lebih RM230 juta. Ini meliputi program podium, latihan atlet dan Road to Gold; persiapan atlet para menjelang sukan para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025.
"Ia juga meliputi kerja-kerja menyelenggara dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara; serta geran padanan sukan sebagai galakan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.
Anwar ketika membentangkan Bajet 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Menariknya, Kerajaan Madani juga memperuntukkan RM15 juta untuk pembangunan bola sepak bagi membantu Harimau Malaya, pasukan bawah 18 (B-18) dan B-13 bagi mendapatkan jurulatih terbaik, mengikuti sesi latihan, serta diberi ganjaran yang setimpal kepada pemain.
Peruntukan sebanyak RM15 juta itu yang akan disalurkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku badan induk membuktikan bahawa bola sepak masih kekal menjadi sukan nombor satu tanah air.
Dalam pada itu, Anwar juga memuji skuad beregu badminton negara iaitu Pearly Tan-M. Thinaah dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang telah mengharumkan nama Malaysia di pelbagai kejohanan antarabangsa seperti kemenangan di Terbuka Artik baru-baru ini.
"Kita berbangga dengan kejayaan pasukan badminton negara antaranya beregu wanita Saudari Pearly dan Saudari Thinaah serta beregu lelaki saudara Sze Fei dan Izzuddin yang telah mengharumkan nama negara di pelbagai kejohanan antarabangsa.
"Saya melihat mereka mencerminkan semangat perpaduan serta kelebihan kita sebagai masyarakat berbilang kaum dan agama, yang boleh berjuang bersama dan menjulang kejayaan," jelasnya.
Sze Fei-Nur Izzuddin dinobatkan sebagai juara Terbuka Artik, manakala Pearly Tan-M Thinaah pula diumumkan naib johan pada kejohanan itu. — AFP
Selain bola, kerajaan juga terpanggil untuk turut mengumumkan peruntukan RM1 juta ringgit kepada pembangunan sukan kriket selepas Perdana Menteri melihat potensi sukan berkenaan dalam kunjungannya ke India, Pakistan dan Bangladesh baru-baru ini.
Tidak hanya menyentuh sukan fizikal, e-sukan juga tidak ketinggalan apabila menyediakan RM20 juta untuk memperkasa ekosistem industri itu selepas Selangor Red Giants bergelar juara dunia bagi e-Sports World Cup.
Bukan itu sahaja, kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan diberikan ke atas ganjaran hadiah wang tunai kemenangan sukan yang diterima oleh pemenang atlet individu dan pasukan melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan yang diberikan oleh Kerajaan melalui Majlis Sukan Negara.
Belanjawan kali ini merupakan yang ketiga dibentangkan beliau di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram