Belanjawan 2025: Salmon, avokado antara barangan bukan keperluan asas kena cukai jualan


  • Primer
  • Jumaat, 18 Okt 2024

Anwar berkata, cukai jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat. — Gambar hiasan

KERAJAAN akan meluaskan asas percukaian negara dengan melaksanakan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) lebih progresif tanpa membebankan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cukai jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat.

"Cukai jualan akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang diimport seperti ikan salmon dan avokado.

"Skop Cukai Perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi," katanya.

BACA LAGI: Belanjawan 2025: Peruntukan RM800 juta Bantuan Awal Persekolahan buat 5.2 juta murid tak kira pendapatan ibu bapa

BACA LAGI: Belanjawan 2025: KWSP kaji mekanisme pindah simpanan ke akaun ahli keluarga terdekat

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Anwar berkata, bagi memastikan kelangsungan perniagaan, Kerajaan akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta industri berkaitan sebelum memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan.

"Peluasan skop SST secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025. Sebahagian hasil akan dimanfaat untuk menambah baik bantuan tunai kepada rakyat terbanyak selain meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

Anwar sebelum itu berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada dasar yang dilaksanakan Kerajaan bagi memperluaskan asas cukai negara.

Ujarnya, ini kerana asas hasil dikutip negara masih rendah, malah antara terendah sementara perbelanjaan subsidi memuncak ke paras tertinggi di rantau Asia.

"Untuk menangani kemelut ini, asas hasil perlu diperluas. Cukai yang dipungut masih antara terendah yakni 12.6 peratus kepada KDNK pada 2023 ketimbang negara tetangga seperti Thailand (16.1 peratus), Filipina (14.1 peratus) dan Singapura (13.7 peratus)," katanya.

Belanjawan kali ini merupakan yang ketiga dibentangkan beliau di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram