Tak bayar sewa, 47 peniaga Pasar Besar Jalan Othman kecewa MBPJ tamatkan lesen perniagaan


  • Massa
  • Jumaat, 18 Okt 2024

Salah sebuah tapak di Pasar Besar Jalan Othman di Pekan Lama Petaling Jaya, Selangor ditutup dengan kanvas selepas menerima notis pengosongan premis kerana gagal membayar sewa bulanan pada tarikh ditetapkan MBPJ.

SERAMAI 47 peniaga di Pasar Besar Jalan Othman di Pekan Lama Petaling Jaya, Selangor, menerima notis tiga hari untuk mengosongkan tapak perniagaan selepas gagal membayar sewa pada tarikh yang ditetapkan.

Mereka tidak berniaga sejak 11 Oktober lepas selepas menerima notis tersebut pada 8 Oktober.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Jalan Othman, N. Rajaratnam adalah antara peniaga yang menerima notis pengosongan premis dikeluarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

BACA LAGI: Belanjawan 2025: Suntikan dana KPT, KBS boleh jadikan SUKIPT, MASUM tahun depan lebih 'bernyawa'

BACA LAGI: Harga barang kami jual tidak akan naik sebab SST meningkat — Ameer Ali Mydin

Press conference on

Dr Afif (tiga dari kanan) dengan Rajaratnam di sebelah kanannya ketika bertemu dengan peniaga yang terkesan di pasar terbabit.

“Perniagaan saya telah beroperasi di sini selama 25 tahun. Saya rasa MBPJ boleh mengambil pendekatan yang lebih lembut.

“Kebanyakan daripada kami gagal membayar sewa hanya sebulan,” kata penjual ayam itu.

Menurut peniaga, mereka dikehendaki membayar sewa secara dalam talian pada 18 hari bulan setiap bulan dan sebahagian daripada 47 peniaga yang lewat sehari membuat pembayaran mendapati sistem itu dikunci.

Notis itu juga berkata, peniaga perlu memohon lesen perniagaan baharu untuk menyambung semula operasi di pasar tersebut, katanya.

Sebelum ini, beliau berkata, peniaga membayar RM350 setiap seorang termasuk deposit dua bulan untuk lesen.

Memandangkan peniaga telah membayar RM700 kepada MBPJ semasa permohonan lesen dibuat sebelum ini, beliau berkata, majlis bandar raya tidak sepatutnya menamatkan lesen mereka hanya kerana lewat membayar sewa sebulan.

"Deepavali tinggal beberapa hari lagi dan kebiasaannya perniagaan kami bertambah rancak semasa hari perayaan," katanya.

Press conference on

Notis pengosongan premis yang dikeluarkan MBPJ kepada peniaga yang gagal membayar sewa mereka.

Katanya lagi, mereka menghubungi ahli majlis MBPJ kawasan itu, Ahmad Akhir Pawan Chik yang berjanji untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Timbalan Pengerusi Persatuan, Zulkarnain Shahbhari berkata, perniagaan merosot selepas penularan wabak Covid-19.

Peniaga yang terjejas meluahkan kekecewaan mereka kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin semasa pertemuan di pasar itu.

Menurut Dr Afif, pasar berkenaan mempunyai kira-kira 560 lot perniagaan dengan hanya 200 beroperasi dan kini 47 peniaga telah menerima notis pengosongan premis.

“Kita tidak mahu mereka berniaga di jalanan secara haram,” katanya sambil menyatakan bahawa peniaga sudah pun terbeban dengan kenaikan bayaran lesen daripada RM90 kepada RM350 selepas wabak Covid-19.

“Terdapat banyak lot kosong dan MBPJ boleh memberi sewa percuma setahun kepada peniaga baharu.

“Tindakan itu akan menarik lebih ramai pelanggan ke pasar. Sesetengah lot telah kosong sejak bertahun-tahun.

“MBPJ mesti menyokong peniaga sedia ada, bukannya menamatkan lesen mereka,” katanya.

Dakwanya, beberapa orang yang memohon untuk berniaga di pasar itu diberitahu tiada tapak kosong.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, tindakan penamatan lesen itu adalah salah satu polisi tertakluk dalam MBPJ.

“Itu adalah prosedur operasi standard (SOP) kami dan peniaga sudah pun sedia maklum mengenainya.

"Mereka perlu memohon semula lesen perniagaan," katanya. — The Star/SHEILA SRI PRIYA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram