SATU kajian mendedahkan bahawa seseorang yang mempunyai golongan jenis darah tertentu lebih berisiko mendapat strok pada usia muda atau sebelum mencecah usia 60 tahun.
Strok berlaku apabila saluran darah tersumbat atau pecah yang berkemungkinan disebabkan oleh faktor kesihatan dan gaya hidup yang buruk.
Pada asasnya, keadaan itu sering dialami oleh warga emas atau mereka yang berumur lebih dari 60 tahun.
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Basuh kaki pun kena bayar’, pelancong ingin ke Indonesia harus hati-hati dengan ‘pungli’
BACA LAGI: Saddam Pittli idam bajet tambahan buat atlet beruniform dalam Belanjawan 2025
Strok berlaku apabila saluran darah tersumbat atau pecah. — Agensi
Bagaimanapun, golongan muda berumur 20 hingga 45 tahun juga boleh diserang penyakit strok.
Penyelidikan menunjukkan bahawa golongan muda memiliki kemungkinan yang besar mendapat strok sebelum umur 60 tahun jika mereka mempunyai golongan darah A.
Dipetik daripada Science Alert, satu kajian pada 2022 mendedahkan hubungan di antara gen jenis darah A dan risiko strok awal.
Penyelidikan itu dijalankan oleh sekumpulan saintis dari University of Maryland School of Medicine yang melihat hubungan antara ciri-ciri genetik seperti jenis darah dan strok.
Penyelidik mengambil data daripada 48 kajian genetik mengenai strok iskemia.
Seramai 17,000 individu yang dikaji menghidap strok berumur 18 hingga 59 tahun dan hampir 600,000 individu tidak menghidap penyakit strok.
Strok boleh terjadi tanpa mengira usia. — Agensi
Carian seluruh genom mendedahkan dua kawasan kromosom yang sangat berkait dengan risiko strok.
Satu kawasan itu bertepatan dengan lokasi gen jenis darah.
Hasil analisis menunjukkan bahawa orang yang mempunyai golongan darah A memiliki 16 peratus berkemungkinan besar mendapat strok sebelum usia 60 tahun berbanding golongan darah lain.
Bagaimanapun, mereka hanya mempunyai kira-kira lima peratus risiko strok lanjut atau tambahan.
Penyelidikan itu juga mendapati bahawa orang yang mempunyai jenis darah B adalah kira-kira 11 peratus lebih berkemungkinan mendapat strok tanpa mengira usia.
Sebaliknya, orang yang mempunyai golongan darah jenis O memiliki risiko yang lebih rendah sebanyak 12 peratus untuk terkena strok dalam waktu yang awal.
Sementara itu, risiko strok selanjutnya hanya sebanyak empat peratus yang berkemungkinan boleh terjadi.
"Kami masih tidak tahu mengapa jenis darah A membawa risiko yang lebih tinggi," kata pakar neurologi vaskular, Universiti Maryland Steven Kittner yang terlibat dalam kajian itu.
Individu yang miliki jenis darah A lebih berisiko untuk berkena serangan strok pada usia muda.
Bagaimanapun, beliau mengesyaki bahawa strok awal pada golongan muda tidak mungkin disebabkan oleh pengumpulan lemak dalam arteri, sebaliknya mungkin dicetuskan oleh faktor yang berkaitan dengan pembentukan bekuan darah.
"Seperti platelet dan sel yang melapisi saluran darah serta protein lain yang beredar, semuanya memainkan peranan dalam pembentukan bekuan darah," katanya.
Walaupun penyelidik mendapati golongan darah jenis A mudah terkena risiko strok awal, mereka menegaskan bahawa potensi bagi risiko itu untuk meningkat adalah sangat tipis.
Kajian masa hadapan dengan sampel yang lebih meluas boleh membantu menjelaskan kepentingan hasil kajian.
"Kami memerlukan lebih banyak kajian untuk menjelaskan mekanisme peningkatan risiko strok," kata Kittner. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram