BARU-baru ini, tular satu video memaparkan kelainan ditampilkan seorang peniaga air minuman dengan cara menyandang bekas air menyerupai 'jet pack' di sekitar bandar raya Melaka.
Kreativiti dan kesungguhan peniagaan terbabit mendapat perhatian warganet selepas klipnya dikongsi seorang pengguna TikTok.
Menerusi video berkenaan, lelaki tersebut dilihat menuang minuman berperisa sirap bandung ke dalam cawan dari bekas minuman disandangnya menggunakan nozel.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Peniaga berkenaan, Mohd Mus'ab Umair Mohamad, 30, yang berasal dari Ayer Molek, Melaka berkata, operasi jualan minuman itu dibuat secara sambilan pada hujung minggu sejak Ogos lalu untuk mencari duit tambahan di samping sekadar mencuba secara suka-suka.
Ujarnya, idea menggunakan bekas air menyerupai 'jet pack' itu timbul selepas menonton filem luar negara.
"Idea itu datang waktu menonton filem. Kalau kita tengok sekarang pun dekat Turkiye, India dan banyak lagi negara lain yang dia bawa tong berjalan jual air.
"Kalau di Makkah pun ada bawa tong beri air zamzam. Kalau di Eropah seperti Jerman dan United Kingdom, mereka ada buat jual cara sandang bekas air tapi jual bir.
"Bila tengok di luar negara banyak buat macam itu, saya pun terfikir bagus juga kalau kita buat," katanya kepada Majoriti.
Menurut Mohd Mus'ab, dia memperuntukkan kira-kira RM500 untuk membeli bekas penyandang minuman yang turut diubah suai.
Menurut Mohd Mus'ab yang turut mempunyai pekerjaan tetap sebagai pembantu makmal di sebuah kilang di Melaka, kebiasaannya dia akan mula berjalan menjual minuman di sekitar Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bermula sekitar pukul 8 malam sehingga kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Berkongsi lanjut, Mohd Mus'ab berkata, dalam tempoh sehari, dia boleh menjual minuman mencecah 60 cawan dengan memperoleh pendapatan sekitar RM250.
"Sambutan itu memang agak memberangsangkan. Ramai juga yang terkejut. Ada yang cakap biasa tengok dalam filem sahaja," katanya yang turut dibantu dan disokong oleh isteri serta keluarganya.
Dalam pada itu, bapa kepada seorang cahaya mata berusia tujuh bulan berkata, dia mengeluarkan modal sebanyak RM500 untuk membeli bekas penyandang minuman itu daripada kedai dalam talian.
Selain itu, dia turut melakukan sedikit pengubahsuaian terhadap alat berkenaan agar sesuai dengan keperluan jualan minumannya.
Buat masa ini, Mohd Mus'ab yang kini dikenali sebagai 'Abang Jet Pack' berkata, dia fokus untuk menjual air minuman yang sudah menjadi signaturnya iaitu sirap bandung.
Bagaimanapun, graduan Diploma Kimia Perindustrian, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis itu turut merancang untuk menawarkan beberapa perisa baharu pada masa depan antaranya jagung.
Dalam pada itu, Mohd Mus'ab berkata, dia pernah berniaga air di tepi jalan selama beberapa bulan selepas menamatkan pengajian diploma.
Namun, katanya, aktiviti itu tidak diteruskan selepas mendapat tawaran kerja tetap yang diperolehinya sekarang.
"Waktu itu baru saja habis belajar dan jiwa pun sebenarnya memang minat berniaga. Suka juga tengok orang lain meniaga," katanya.
Dituduh jual air pada harga mahal
Mohd Mus'ab kini dikenali dengan jualan sirap bandung.
Ekoran daripada tularnya video jualan minuman dihasilkannya, ada segelintir warganet menyifatkan harga ditawarkan agak mahal.
Ini kerana menurutnya, tanpa perlu membayar sewa tapak, harga minuman disediakan sepatutnya lebih murah.
Mengulas mengenai kritikan tersebut, Mohd Mus'ab mengakui maklum mengenai perkara tersebut.
Bagaimanapun dia berpandangan harga yang ditetapkannya adalah berpatutan, ditambah pelanggan mempunyai pilihan untuk membeli pada harga lebih murah iaitu RM3 untuk cawan bersaiz kecil, manakala RM4 bagi cawan besar.
"Kita fikir juga. Untuk orang yang meniaga tepi jalan, dia bawa meja. Tapi saya pun bawa kelengkapan saya. Kemudian daripada segi kualiti air pun kita ambil kira.
"Untuk minuman yang saya jual insya-ALLAH tidak ada manis terlebih atau terkurang. Sebab kita tak campurkan ais terus dalam minuman. Kita asingkan. Bila pelanggan minta baru kita campurkan dalam cawan," ujarnya yang masih bergerak solo melakukan jualan berkenaan.
Pada masa ini, Mohd Mus'ab berkata, dia juga ada kalanya menawarkan promosi kepada pengunjung pada waktu dan acara tertentu.
"Saya pun ada masa kalau dapat jualan banyak, saya akan cuba berikan semula kepada pelanggan. Ada masa mungkin sejam kita akan bagi 'happy hour' untuk pelanggan 'refill' air secara percuma atau tambah RM1. Bergantung kepada hari atau acara," katanya.
Dalam pada itu, kata Mohd Mus'ab, cara jualan minuman dilakukannya itu juga dilihat secara langsung menggunakan pendekatan 'direct selling' atau jualan terus sekali gus membolehkan dia lebih mesra kepada pengguna.
Mengulas mengenai perancangannya untuk masa depan, dia mengakui merancang untuk bergerak bersama dua tiga rakannya bagi membuat jualan minuman dengan cara sedemikian di acara dan kawasan tumpuan sekitar Melaka menjelang akhir tahun ini.
Dia juga tidak menolak untuk membantu individu yang mahu mencari pendapatan tambahan dengan menjual air menggunakan kaedah yang dilakukannya ketika ini.
"Sebab kita tahu zaman sekarang macam-macam cara orang cuba untuk cari duit. Ada orang meniaga buka bonet, jual tapak, jual di lampu isyarat dan sebagainya. Jadi kita mungkin akan bagi idea kepada mereka," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram