Belanjawan 2025: Peruntukan naik taraf fasiliti awam, tingkatkan kadar elaun suntik semangat OKU jalani hidup


  • Massa
  • Khamis, 17 Okt 2024

Fasiliti atau kemudahan awam untuk kegunaan OKU antara harapan disuarakan menjelang Belanjawan 2025. — Gambar hiasan/Agensi

PELBAGAI pihak mula menyuarakan harapan dan hasrat menjelang Belanjawan 2025 yang bertemakan 'Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera' pada Jumaat ini.

Pembentangan itu merupakan belanjawan ketiga yang digarap oleh Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru ramai berharap belanjawan kali ini mampu memberikan bantuan dan kelegaan terutama kepada golongan memerlukan termasuk kelainan upaya (OKU).

BACA LAGI: 'Bapa saya juga terima dia seadanya', BraderWheelchair bertuah miliki isteri sentiasa bersama kongsi idea buat konten

BACA LAGI: Belanjawan 2025: Suntikan dana KPT, KBS boleh jadikan SUKIPT, MASUM tahun depan lebih 'bernyawa'

2881492

Nur Izhar tergolong dalam kategori OKU berkerusi roda.

Mewakili komuniti OKU, Nur Izhar Idham yang merupakan pempengaruh media sosial dan pemenang Anugerah TikTok 2024 kategori Changemaker of the Year menyenaraikan beberapa perkara perlu ditambah baik dan diperuntukan oleh pihak kerajaan.

Antara yang diketengahkan adalah tentang dana untuk meningkatkan taraf prasarana serta fasiliti awam buat golongan OKU terutamanya berkerusi roda.

1. Peruntukan untuk penyelenggaraan fasiliti OKU di pengangkutan awam

Menurutnya, penekanan khusus pada kemudahan itu di tempat pengangkutan awam seperti bas atau kereta api perlu dilakukan dengan lebih baik.

Meskipun pengguna kerusi roda, Nur Izhar mengambil keputusan menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) untuk ke tempat kerja dan pulang ke rumah.

Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran dan pendedahan tentang kepentingan memperkasakan penggunaan pengangkutan awam di Malaysia.

Katanya, kerajaan perlu menyediakan dana atau peruntukan sesuai untuk memperbaiki lif, tandas dan laluan OKU di stesen-stesen kereta api itu.

"Akses OKU di pengangkutan awam masih lemah dan banyak stesen tidak mempunyai eskalator berfungsi untuk kami guna terutamanya semua Stesen Monorel.

"Disebabkan itu, perlunya penyelenggaraan yang kerap supaya ia bukan memudahkan OKU sahaja malah pengguna lain juga," katanya kepada Majoriti.

6089184060384594465

Eskalator biasa agak sukar digunakan bagi OKU berkerusi roda.

2. Fasiliti OKU di tempat kerja

Bukan itu sahaja, Nur Izhar turut mengharapkan agar kerajaan dapat memperuntukan kepada pihak syarikat swasta untuk menyediakan fasiliti atau kemudahan buat golongan OKU.

Menurutnya, kebanyakan syarikat kecil menghadapi cabaran menyediakan kemudahan OKU seperti tandas dan pengangkutan yang sekali gus menyekat kemampuan mereka untuk bekerja.

"Ini juga termasuk kemudahan di sekolah dan institut pengajian tinggi agar dapat menarik lebih ramai OKU dalam kalangan muda menuntut ilmu.

"Saya banyak dengar cerita daripada kawan-kawan, mereka ada yang berkelulusan tinggi dan mahir dalam sesuatu bidang tetapi terbatas dengan kekurangan kemudahan awam di tempat kerja," katanya lagi.

1722314

Peruntukan khas untuk syarikat swasta menyediakan kemudahan buat golongan OKU disarankan kepada kerajaan. — Gambar hiasan

3. Peluang pekerjaan untuk OKU dalam sektor awam

Kata Nur Izhar, pelaksanaan 1 peratus OKU dalam sektor awam perlu dikuatkuasa dengan lebih meluas.

"Dengan Belanjawan 2025 ini, saya berharap agar kerajaan dapat perkenalkan program MyStep khas untuk golongan OKU melakukan pekerjaan asas.

"Ini boleh kurangkan halangan kepada OKU tidak mempunyai kelayakan akademik tetapi memiliki kemahiran asas yang diperlukan," jelasnya.

Dia juga menyarankan agar kerajaan dapat memperuntukan kekosongan jawatan untuk OKU dalam setiap unit pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri.

Menurutnya, dengan adanya pekerja OKU di setiap PBT, ia dapat membantu mereka lebih memahami dan mendalami spesifikasi penting dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan.

Elaun-Pekerja-Orang-Kurang-Upaya-EPOKU

Kadar EPOKU diharapkan akan dinaikkan dalam pembentangan Belanjawan 2025 nanti.

4. Menaikkan kadar pembayaran EPOKU

Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) adalah sejenis bantuan tunai disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Belanjawan 2024 bagi menggalakkan OKU terus bekerja serta mampu hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif.

Kadar bayaran terkini elaun tersebut adalah sebanyak RM450 sebulan seorang.

Bagi Nur Izhar, kadar tersebut sememangnya wajar dinaikkan antara RM500 ke RM600 sesuai dengan peningkatan kos sara hidup dan harga barang keperluan asas terutamanya di kawasan bandar.

Katanya, kenaikan kadar elaun itu sekali gus mampu meningkatkan kualiti hidup OKU meskipun ia masih perlu digunakan secara berhemah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram