KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sudah menubuhkan Jawatankuasa Khas Tindakan Gempur Kehadiran Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024/2025 bagi mengurangkan jumlah ketidakhadiran pelajar menduduki peperiksaan itu.
Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu berkata, perkara tersebut kini dilaksanakan sesuai dengan rancangan pelan intervensi bagi memperkasakan program sedia ada.
Menurutnya, KPM turut menggunakan pentaksiran psikometrik untuk mengumpul maklumat daripada aspek minda atau jiwa demi membantu pelajar mengenali personaliti kendiri serta boleh membuat keputusan mengikut kemampuan diri.
BACA LAGI: KPM giat tingkat usaha penyediaan tambahan internet, tablet untuk sekolah Orang Asli di Pos Betau
BACA LAGI: KPM pujuk 399 calon tak hadir SPM 2023 ambil semula peperiksaan
Kah Wong menjelaskan tentang usaha-usaha KPM dalam membantu para pelajar di Malaysia. — The Star
Kah Wong berkata, KPM juga melaksanakan program persediaan menghadapi peperiksaan SPM melalui inisiatif Program Minda Sihat Sekolah serta aktiviti berfokus seperti ziarah cakna, sesi konsultasi ibu bapa, permuafakatan Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) serta Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS).
Jelasnya, punca seramai 10,160 calon SPM yang tidak hadir menduduki peperiksaan itu pada 2023, KPM mendapati kebanyakannya adalah disebabkan calon bekerja, berhenti atau berpindah sekolah serta mengalami masalah keluarga dan sakit.
Dalam pada itu, Kah Wong memberitahu tentang cadangan KPM untuk memperluaskan satu projek rintis dengan menambah 400 kelas lagi di beberapa sekolah terpilih di bandar dan luar bandar pada 2025.
Katanya, ia sebagai usaha KPM membangunkan kemahiran digital dalam ekosistem pembelajaran itu yang dilaksanakan di 110 institusi pendidikan terpilih selaras dengan Teras 4: Pengupayaan Infrastruktur dan Infostruktur di Bawah Dasar Pendidikan Negara (DPN).
Ia melibatkan 550 kelas bermula pada 2021 dan kelas pintar itu dilengkapi dengan kemudahan peralatan digital smartboard, televisyen pintar, set kamera dan perakam suara.
Selain menjadi kaedah dalam menyelesaikan isu kekangan peralatan di sekolah luar bandar bagi mengadaptasi teknologi dan digital ia juga merupakan usaha bagi memastikan golongan tersebut tidak terus tercicir daripada sistem pendidikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram