SEORANG pembantu rumah warga Indonesia mengaku tidak bersalah atas beberapa pertuduhan dihadapinya, termasuk kesalahan mencuri wang tunai kira-kira RM20,000 milik majikannya selain menetap melebihi tempoh pas khas.
Menurut laporan Buletin TV3, Devi Wulandari berdepan kesemua pertuduhan itu di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka pada Rabu di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni dengan pertuduhan dibacakan dan diterangkan jurubahasa mahkamah.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang berusia 31 tahun sebagai pembantu rumah didapati mencuri harta majikannya iaitu wang tunai kira-kira RM20,000, kad pengenalan serta kad Orang Kurang Upaya (OKU) milik Loh Chin Yee.
BACA LAGI: Dua suspek kes bunuh Sabari Baharom dituduh di mahkamah Kubang Pasu pada Khamis
BACA LAGI: Peguam syarie 'team' Fattah, perjelas sebab Fazura boleh dihukum hina mahkamah
Kesalahan difahamkan berlaku di sebuah rumah dekat Jalan Rusa 1, Taman Sin Hoe, Bukit Baru, Melaka sekitar pukul 12.15 tengah hari pada 16 Mei lalu.
Pembantu rumah tersebut dibawa ke Mahkamah Majistret Melaka untuk berdepan kesemua pertuduhan.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
Tertuduh yang memegang pasport Indonesia turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tinggal di negara ini selepas pas khas tamat tempoh iaitu selama 11 bulan, dua minggu dan empat hari tanpa sebab yang munasabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pekarangan Balai Polis Malim dalam daerah Melaka Tengah pada 8 Oktober lalu, kira-kira pukul 5.31 petang.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan dibenarkan mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Disember depan bagi serahan dokumen dan melantik peguam bela. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram