MENJALANI hidup dengan cara berbeza atau di luar normalisasi masyarakat tidak mudah untuk dilalui.
Begitu juga dengan seorang pempengaruh media sosial dengan menggunakan akaun TikTok BraderWheelchair yang diklasifikasikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) berkerusi roda.
Meskipun pergerakannya terhad dan terbatas, ia sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya seperti individu lain.
BACA LAGI: Tak sangka musim buah jadi cabaran, guru SK Tekir tabahkan diri pujuk murid ke sekolah
@izhar.idham Alhamdulillah. Aku bersyukur sekurangnye ape yg aku buat selama ni ada juga pihak yg menghargai. Aku berharap dengan awards ni akan menjadi inspirasi kepada geng senasib untuk terus kedepan. Jangan menguna platform medsoc untuk menagih simpati dengan kecacatan diri, sb kita lebih memerlukan empati. “Kalau Aku Boleh, Kau Pun Boleh“ #fyp #awareness #oku #malaysia #educate #facilities #inspire #wheelchairlifestyle #nobarriers #wheelerangers #wheelchairlifestyle #tiktok #TikTokAwardsMY2024 #braderwheelchair #CapCut ♬ Alibi - Sevdaliza & Pabllo Vittar & Yseult
Pemilik nama Nur Izhar Idham itu ternyata berhasil membuka mata masyarakat selepas memenangi Anugerah TikTok 2024 kategori Changemaker of the Year pada 11 Ogos lalu.
Selain membuktikan dirinya mampu bersaing dengan individu bukan dalam komunitinya itu, Nur Izhar juga bertekad untuk terus memberi kesederan tentang kepentingan infrastruktur bagi golongan OKU.
Baginya, media sosial merupakan platform yang dapat membantu mewakili rakan-rakan senasib dengannya menyuarakan keluhan atau saranan untuk penambahbaikan terutamanya daripada aspek kemudahan buat OKU seperti laluan khas di jalan raya, stesen perkhidmatan awam dan banyak lagi.
Bagi yang belum mengenalinya, Nur Izhar dilahirkan sebagai manusia normal sebelum terlibat dalam kemalangan motosikal ketika berusia 18 tahun sehingga menyebabkannya koma selama 10 hari dan lumpuh.
Insiden itu juga berlaku ketika dia sedang melanjutkan pelajaran baru tiga bulan dalam Diploma Automotif Mekanikal di sebuah kolej.
Nur Izhar bagaimanapun tetap bersemangat dan tidak menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk mencapai kejayaan dalam hidup.
Namun, lebih menyentuh hati apabila kejayaan Nur Izhar itu didorong oleh isteri tercinta yang setia berada dibelakangnya selama sepanjang tiga tahun bersama.
Penerimaan isteri
Mungkin, bagi sesetengah wanita, memiliki suami sempurna adalah penanda aras kebahagiaan sesebuah perkahwinan.
Tetapi, tidak buat isteri Nur Izhar, yang mahu dikenali sebagai Jaja kerana sanggup menerima suaminya meskipun dalam keadaan sedemikian.
Mendirikan rumah tangga pada 2021, Jaja meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian Nur Izhar di atas pentas anugerah itu.
Jaja yang setia menemani suaminya.
Berkongsi bagaimana penerimaannya terhadap suami, Jaja berkata, Nur Izhar menjadi insan terbaik selama ini lebih-lebih lagi dia dipilih oleh bapanya sendiri di awal perkenalan.
"Kami berkenalan di media sosial dan tak ambil masa lama saya terus bawa dia jumpa keluarga.
"Saya berkahwin memang waktu dia sudah menggunakan kerusi roda tambah pula disebabkan abah saya yang terima dia seadanya ketika itu," katanya kepada Majoriti.
Katanya, keputusan dibuat oleh ayahnya sebelum meninggal dunia selepas kurang enam bulan berkahwin tidak sia-sia.
Wanita berumur 33 tahun itu juga menyatakan bahawa pilihan arwah ayahnya tepat untuk menjadikan Nur Izhan untuk menjaganya.
Curah idea bersama
Bercerita pula berkenaan karier sebagai pencipta kandungan, Jaja berkata, dia menjalankan tanggungjawab sebagai pendorong utama dalam setiap video dicipta Nur Izhar.
Nur Izhar membuktikan bahawa kelainan yang dimiliki tidak menghalangnya untuk lebih ke hadapan.
Kata Jaja, setiap kali suaminya mahu membuat video, dialah individu yang memberi idea dan memastikan produksi kecil mereka itu dilaksanakan dengan lancar.
"Selain saya tolong sediakan kamera, tripod, mikrofon, hiasan ruang rakaman, saya juga akan bincang bersamanya tentang isi kandungan yang akan disediakan.
"Kadang-kadang idea yang saya dapat, saya terus bagitahu dia. Ada juga idea dia tak terfikir dan ada masa saya paksa untuk buat konten kalau dia tak mahu," katanya.
Dalam pada itu, Nur Izhar berkata, kerjaya itu hanya dilakukan ketika ada masa terluang kerana kedua-dua mereka sebenarnya mempunyai kerjaya hakiki lain.
Nur Izhar yang bekerja di syarikat import bekalan kerusi roda dari Thailand ke Malaysia di beberapa pusat kebajikan, badan bukan kerajaan (NGO) atau secara individu.
Pasangan itu juga dilihat bersungguh dalam mencari rezeki kerana menggunakan masa terluang dengan membuka jualan kopi secara kecil-kecilan menggunakan van berhampiran rumahnya di Serdang, Selangor setiap malam.
Puas hati dengan tahap yang dicapainya kini, Nur Izhar sentiasa memasang niat untuk berjasa dan menyumbangkan kebaikan kepada komunitinya melalui platform media sosialnya.
"Untuk menubuhkan agensi NGO sendiri belum mampu, tetapi saya memang akan bantu golongan OKU yang memerlukan mengikut bajet dan kemampuan yang ada setakat ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram