WALAUPUN sudah bertahun-tahun diadakan, kemeriahan temasya Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Sukan Institut Pendidikan Tinggi (SUKIPT) masih belum cukup hangat dirasakan.
Lihat sahajalah tahun ini apabila orang ramai masih tidak menyedari penganjuran kedua-dua karnival sukan itu, baik dari segi peserta, tarikh, acara mahupun lokasi pertandingan.
Lebih menyedihkan lagi, MASUM dan SUKIPT sepatutnya diraikan lebih meluas memandangkan saban tahun, terdapat atlet dari universiti tanah air mudah memecahkan rekod kebangsaan.
BACA LAGI: 'Late bloomer', jangan jadikan atlet SUKIPT, MASUM mangsa keadaan
BACA LAGI: Bintang tae kwan do akui pendedahan terhad cabaran atlet SUKIPT, MASUM ke tahap lebih tinggi
Belanjawan 2025 diharapkan dapat merancakkan lagi arena sukan universiti. — Belanjawan 2025
Sebagai contoh, dalam temasya SUKIPT tahun ini, sebanyak enam catatan masa diperbaharui dalam acara kayak dengan ia membuktikan kualiti dimiliki peserta dari seluruh negara.
Jadi, sekiranya tiada usaha daripada pihak kerajaan untuk mengubah perkara itu, produk daripada kedua-dua kejohanan berkenaan akan disia-siakan kerana tiada liputan meluas mengenai mereka, sekali gus membuatkan orang ramai kurang mengenali latar belakang masing-masing.
Solusi terbaik kepada masalah terbabit adalah dengan suntikan dana daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Meskipun peruntukan hanya boleh diukur berdasarkan pembahagian semasa pengumuman Belanjawan 2025 pada Jumaat ini, pelaburan lebih banyak mampu mengelak isu kurangnya keghairahan terhadap penganjuran SUKIPT dan MASUM.
1. Siaran langsung lebih meluas
Sepanjang penganjuran SUKIPT dan MASUM, orang ramai kurang mengetahui akan perkembangannya memandangkan tiada liputan meluas daripada arena media tempatan di televisyen mahupun dada-dada akhbar.
Ini kerana KPT dan KBS tidak memiliki dana mencukupi untuk tujuan pengiklanan yang kemudian menyebabkan mereka sukar mempromosikan karnival sukan sedang berlangsung.
Siaran langsung aksi SUKIPT wajar diadakan di kaca televisyen. — Facebook/UiTM United
Jadi, sekiranya kedua-dua kementerian ini dapat menerima bajet mencukupi, peluang menguar-uarkannya akan lebih meriah, sekali gus menggiatkan lagi tontonan daripada orang ramai.
Tidak cukup dengan itu, dana diperolehi boleh digunakan untuk menyiarkan acara-acara besar atau perlawanan akhir di kaca televisyen yang akan membuka mata peminat sukan terhadap kebolehan atlet universiti.
Kemeriahan daripada SUKIPT dan MASUM itu kemudiannya akan membuka peluang tajaan daripada syarikat tempatan yang mahu mengikuti perkembangan peserta sehingga ke peringkat antarabangsa.
2. Jumlah insentif meningkat
Tidak boleh dinafikan bahawa insentif ditawarkan boleh menjadi punca utama seseorang atlet memberikan aksi terbaik dalam setiap kejohanan sukan yang disertai.
Bagaimanapun, perkara itu sukar dilaksanakan di peringkat SUKIPT kerana KPT dan KBS mempunyai fokus utama dan penting yang memerlukan peruntukan lebih besar.
Insentif disediakan buat atlet kurang memuaskan. — Facebook/SUKAN IPT
Jadi, tidak hairanlah apabila dalam saingan SUKIPT tahun ini, insentif sedikit terhad boleh ditawarkan dengan olahragawan dan olahragawati hanya menerima imbuhan RM3,000 sementara RM7,000 disediakan masing-masing buat pasukan terbaik lelaki dan wanita.
Sekiranya jumlah itu dapat ditingkatkan, saingan lebih rancak pasti dapat disaksikan apabila atlet mahu mengaut keuntungan yang kemudiannya akan membuatkan mereka lebih bersemangat.
Meskipun perkara tersebut masih sukar untuk dilaksanakan memandangkan terdapat kekangan bajet, pendekatan sebegini pasti akan menghangatkan lagi penganjuran SUKIPT dan MASUM pada tahun-tahun akan datang.
3. Fasiliti pertandingan, latihan ditambah baik
Ketika ini, fasiliti pertandingan di IPT seluruh negara masih belum berada di tahap optimum kerana mereka perlu mengharapkan kemudahan pusat di luar kawasan.
Tidak cukup dengan itu, kekangan berkenaan turut dialami dari segi kelengkapan latihan apabila terdapat universiti terpaksa menyewa untuk membantu persiapan atlet.
Fasiliti pusat sukan masih perlu ditambah di setiap universiti. — Facebook/JSP UITM SHAH ALAM
Sekiranya masalah terbabit tidak diselesaikan segera, perkembangan mereka akan terbantut selama menuntut di institut pendidikan yang tidak memiliki fasiliti lengkap.
Jadi, sekiranya bajet ditentukan kerajaan meningkat bagi KPT dan KBS, peruntukan buat universiti boleh ditingkatkan bagi menambah baik fasiliti latihan buat atlet.
Bagaimanapun, kesedaran masih perlu dimiliki pihak pengurusan universiti, terutamanya IPTA supaya menambah baik kelengkapan yang pasti akan dapat merancakkan penganjuran SUKIPT dan MASUM pada tahun-tahun akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram