Tak terperap dalam rumah, taman riadah beri banyak manfaat sosial kepada masyarakat — Pakar


  • Massa
  • Rabu, 31 Jul 2024

Ampang Park, Kuala Lumpur yang menjadi tarikan dan lokasi orang ramai melakukan aktiviti riadah. — Twitter/@tnqistina

KAWASAN beriadah seperti taman antara pembangunan penting dalam perancangan bandar di Malaysia.

Penggunaan taman riadah seperti di Ampang Park, Kuala Lumpur yang dilihat semakin menjadi tarikan penduduk baru-baru ini jelas menunjukkan perubahan sosial dalam kalangan masyarakat.

Ia selepas satu hantaran dikongsikan pengguna X @tnqistina yang memaparkan kemeriahan beberapa individu termasuk kanak-kanak yang melakukan aktiviti di kawasan terbabit.

"Berjalan-jalan di sekitar Ampang Park (ia dah menjadi taman sekarang) dan hati saya terasa begitu terharu melihat ia digunakan sebagai ruang awam.

"Rakyat Malaysia, tua dan muda. Kami perlukan lebih banyak tempat seperti ini. Tidakkah anda melihat kesannya terhadap masyarakat," tulisnya.

BACA LAGI: Mahu jadikan surau sebagai pusat komuniti, SGR pelawa penaja melalui program golf amal 'Chip In for Charity'

BACA LAGI: 'Semoga ada tempat perlindungan himpun golongan terabai', ramai simpati remaja OKU dibuang keluarga di KL

Perkara itu juga tidak dinafikan dapat memberi kesan positif terutamanya kepada perkembangan sosial masyarakat.

Ia juga tidak dinafikan oleh pakar sosial, Datuk Prof Dr Mohammad Shatar Sabran yang mengatakan penggunaan taman riadah sedikit sebanyak mampu mengeratkan hubungan sosial antara masyarakat.

Mohammad Shatar berkata, hal ini kerana ia secara tidak langsung akan mewujudkan keharmonian serta memupuk perpaduan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, selain dapat meningkatkan kesihatan seseorang, memanfaatkan taman riadah sangat membantu perkembangan psikologi kanak-kanak.

"Dalam konteks sosial, bukan sahaja untuk kesihatan tetapi ia juga dapat bantu daripada segi interaksi sosial.

"Apabila seseorang itu atau kanak-kanak diberi pendedahan kepada persekitaran bersih, sihat, hijau dan sebagainya, ia sekali gus dapat mendorong kepada pemikiran minda yang cergas jika mahu dibandingkan kita duduk dalam bilik," katanya kepada Majoriti.

7-outdoor-activities-for-children

Taman riadah memberi peluang kepada kanak-kanak untuk berinteraksi dengan orang awam. — Agensi

Menurutnya, kebanyakan kawasan bandar terutamanya di Kuala Lumpur memiliki ruang beriadah dengan fasiliti dan kemudahan yang disediakan buat pengguna.

Baginya, ia secara tidak langsung membantu menerapkan sikap tanggungjawab terhadap penjagaan harta benda awam.

Mohammad Shatar yang Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menjelaskan bahawa sesuatu bandar itu memerlukan lokasi riadah sedemikian dengan lebih banyak agar kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu menambah baik sistem pembelajaran pelajar tempatan.

"Jika lihat seperti cara pendidikan di luar negara yang menerapkan pembelajaran terbuka maksudnya kelas banyak dilakukan di kawasan lapang, padang, pusat beli-belah termasuk taman riadah.

"Pembelajaran di luar bilik darjah juga bantu murid atau pelajar mendapatkan pemandangan luas dan udara yang lebih segar," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram