MEMBACA amalan mulia. Ia bukan sahaja penting dalam menambah pengatahuan, malah meningkatkan daya kreativiti, kefahaman bahasa serta perkembangan kesihatan mental yang sihat.
Membaca buku samada dalam bentuk fizikal mahupun digital, amalan itu sememangnya mampu memperbaiki fokus, memperkukuh daya ingatan dan boleh mengurangkan tekanan.
Mereka yang meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk membaca juga lebih cenderung menonjol dalam bidang akademik atau kerjaya berbanding dengan individu kurang membaca.
BACA LAGI: 'Jangan takut gagal', remaja 16 tahun gigih tulis, sampaikan 101 ucapan berani cabar potensi diri
BACA LAGI: Pustakawan patut dianggap barisan hadapan, anak jati Tenom teroka ragam, kelebihan perpustakaan
Membaca sememangnya dapat meningkatkan daya fokus seseorang. — Gambar hiasan
Namun, tidak dapat dinafikan bahawa setiap bahan bacaan mempunyai pengaruh berbeza terhadap minda dan cara berfikir seseorang.
Dengan kepelbagaian jenis bahan bacaan daripada novel cinta hinggalah ke buku ilmiah, pilihan yang dibuat oleh pembaca akan menentukan cara mereka melihat dunia dan membuat keputusan.
Sebagai contoh, bagi golongan remaja yang masih dalam proses pembentukan identiti diri, pilihan bahan bacaan boleh mencorakkan pemikiran mereka tentang kehidupan, hubungan, dan masa depan.
Justeru, membaca sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat mampu mengembangkan daya pemikiran kritis dan empati, manakala bahan bacaan lebih ringan dan kurang berkualiti mungkin tidak menawarkan nilai jangka panjang.
Bagi peringkat pelajar sekolah seperti Wan Nursyir Izwa Wan Jafnan, 15, pula lebih sesuai untuk membaca bahan bacaan ringan tetapi tidak mempunyai kandungan terlalu keterlaluan seperti novel percintaan.
Membaca membantu Izwa meningkatkan keyakinan diri.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Pudu, Kuala Lumpur itu berkata, genre lain digemarinya adalah fantasi dan pengembaraan.
"Saya tak berapa gemar baca novel cinta macam orang lain sebab tak minat sangat dengan jalan ceritanya. Lagi pun saya masih sekolah, jadi tak berapa bagus.
"Kalau buku atau novel genre kegemaran saya itu bagus dibaca untuk pelajar sekolah sebab ia menceritakan tentang realiti kehidupan di dunia," katanya kepada Majoriti.
Bina keyakinan diri
Menurutnya, amalan membaca itu juga membantunya membina keyakinan diri untuk menyertai pelbagai pertandingan seperti pidato, syair dan baca berita di hadapan khalayak ramai.
Dia yang lebih mesra disapa Izwa berkata, dengan mengambil ilmu dalam bahan bacaan itu memberinya idea untuk dilontarkan ketika menyampaikan pengucapan awam tersebut.
"Bila saya membaca, ia buatkan saya mudah untuk bercerita di atas pentas," katanya.
Antara lukisan Izwa yang diinspirasikan daripada novel dan komik dibacanya.
Anak keempat daripada lima beradik itu juga berkata, amalan itu sediki sebanyak dipengaruhi oleh kakak keduanya yang minat membaca buku tentang sejarah dan ilmiah.
"Kadang-kadang, kakak pun selalu beri cadangan nak pilih buku berfaedah sesuai dengan saya.
"Sebab kami berdua memang rapat daripada kecil lagi dan selalu berkongsi sama-sama. Kalau ke perpustakaan pun dengan dia juga," katanya.
Selain itu, Izwa juga memanfaatkan masa lapangnya dengan melukis animasi dan membaca membantunya mendapatkan ilham untuk melakukan seninya.
Kebanyakannya, animasi itu diinspirasikan daripada ilustrasi-ilustrasi yang terdapat dalam bahan bacaan lainnya seperti komik.
Sehingga kini, Izwa mempunyai lebih 10 buah buku di rumahnya dan berhasrat mahu menambah lagi koleksi bahan bacaannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram