SEJAK menyertai Kelantan Darul Naim (KDN) FC secara pinjaman, Hakimi Abdullah menjadi bahan bualan penyokong kelab Pantai Timur tersebut selepas mencipta sumbangan penting dalam aksi menentang Negeri Sembilan FC.
Rembatan deras dari luar kotak penalti membolehkan skuad Kijang Emas mencatatkan kemenangan kedua musim ini, namun masih tidak dapat memperbaiki kedudukan mereka dalam carta.
Namun, ia pastinya sudah cukup buat dalam usaha mereka menambah baik prestasi dalam kempen Liga Super memandangkan tugas berat menanti apabila pasukan bimbingan Park Jun-heong itu akan berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC pada Jumaat ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Temui rentak lepas tinggalkan Terengganu, gol berkelas dunia Hakimi pikat hati fans
BACA LAGI: KDN FC hilang 3 tonggak, bekas penyerang kelab Lembah Klang jadi harapan bertemu KL City
Hakimi mula menjadi watak utama skuad Kijang Emas. — Facebook/KDN FC
Hakimi yang baru sahaja berusia 24 tahun turut menyedari akan kepentingan pertembungan berkenaan bagi memastikan KDN FC meraih kemenangan kedua berturut-turut.
Malah, dia yang sudah mencatatkan dua penampilan buat pasukan itu setakat ini mengakui terdapat tonggak yang perlu diperhatikan sekiranya mahu membawa pulang tiga mata penuh.
"Untuk perlawanan akan datang, saya melihat KL City FC mempunyai beberapa pemain yang berbahaya seperti Haqimi Azim dan Paulo Josue. Mereka antara pemain Harimau Malaya dan kami perlu berjaga-jaga," katanya kepada MFL.
Pandangan berkenaan turut diakui rata-rata pengikut setia skuad Kijang Emas yang beranggapan skuad Warga Kota memiliki kualiti untuk mencipta kejutan meskipun beraksi di tempat lawan.
Kebergantungan kepada kedua-dua tonggak tersebut juga dilihat sebagai resipi utama diterapkan pengendali pasukan Lembah Klang berkenaan, Miroslav Kuljanac sepanjang saingan Liga Malaysia 2024/25.
Paulo merupakan tonggak utama skuad Warga Kota memasuki pertengahan musim 2024/25. — Facebook/MFL
"Ada betul juga kata Hakimi itu, Haqimi dan Paulo (Josue) perlu diberi perhatian kerana musim ini, mereka merupakan pemain terbaik KL City FC," kata Hisham Noor.
"Bila lawan ni? Risau juga berdepan KL City kerana mereka ada pemain yang baik. Walaupun ada isu gaji, masing-masing boleh bermain dengan baik," kata Karim Zaman.
"Haqimi dan Paulo paling bahaya untuk KL City. Selalu tengok mereka sahaja yang skor, jadi kena rantai elok-elok," kata Zamri Leman.
Meskipun berada dalam rentak terbaik musim ini, skuad Warga Kota hanya boleh berpuas hati di kedudukan kelapan Liga Super berikutan hukuman dikenakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terhadap mereka.
Berdasarkan keputusan dicatatkan, mereka sepatutnya sudah mengumpul 17 mata, namun enam daripadanya sudah ditolak berikutan kegagalan menjelaskan tunggakan gaji pemain untuk beberapa bulan.
Peluang itu perlu disambar KDN FC untuk meraih kemenangan ketiga musim ini yang boleh merapatkan lagi kedudukan mereka dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang menduduki tangga ke-11. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram