KPM giat tingkat usaha penyediaan tambahan internet, tablet untuk sekolah Orang Asli di Pos Betau


  • Primer
  • Rabu, 21 Ogos 2024

KPM sedang dalam usaha menambah baik kemudahan pelajar terutamanya di sekolah Orang Asli. — Gambar hiasan/The Star

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) giat meningkatkan usaha dalam menyediakan kemudahan tambahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Betau, Kuala Lipis, Pahang.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sekolah Orang Asli itu dipilih dalam program Kampung Angkat Madani di bawah KPM.

“Pihak kami sedang mempergiat sediakan kemudahan tambahan di sekolah Pos Betau seperti penambahan jaringan internet dengan menggunakan peranti satelit Starlink dan tablet untuk kegunaan murid-murid,” katanya.

BACA LAGI: Berani tonjolkan diri, ibu tak pernah berhenti buka jalan Zaza kembangkan bakat atas pentas

BACA LAGI: Harumkan nama Malaysia, politeknik di mata dunia, pensyarah tidak mahu Izzul Zafran 'hanyut'

WhatsApp Image 2024-08-21 at 11.08.16

Kah Woh ketika ucapan perasmian Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Kebangsaan 2024 di Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Kebangsaan 2024 di Kuala Lumpur pada Rabu.

Katanya, KPM juga dalam usaha menambah baik penyaluran air bersih dan bekalan elektrik di bangunan baharu di sekolah berkenaan bagi memudahkan pembelajaran dan proses membekalkan makanan.

Kah Woh pada masa sama berkata, ia antara inisiatif KPM dalam menyediakan akses pendidikan secukupnya khusus buat kanak-kanak di kawasan pedalaman bagi mengelakkan berlakunya isu keciciran.

"Usaha ini sekali gus akan menjadi mercu tanda buat KPM berhubung cara kami membangunkan semula sekolah-sekolah di pedalaman," jelasnya.

Beliau memberitahu bahawa sebanyak 11 buah Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) ditambah sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya 28 buah manakala dua buah pertambahan sekolah rintis bagi Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11).

Tambahnya, sekolah K9 dan K11 juga diperluaskan di dua kawasan iaitu di SMK Long Bedian, Sarawak dan SMK Pos Betau.

Terdahulu, KPM memaklumkan usaha itu membabitkan empat sekolah K9 iaitu tiga di Terengganu iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Keruak, Besut, SK Merang di Setiu dan SK Pulau Redang di Kuala Nerus, manakala satu di Sarawak iaitu SK Nanga Merit, Limbang.

Sekolah Model Khas Komprehensif K9 itu melibatkan proses pembelajaran murid di mana mereka akan duduk dalam sekolah di bawah satu bumbung dari tahun satu hingga tingkatan tiga.

Bagi kategori K11 pula pelajar akan belajar lebih menyeluruh sehingga tingkatan lima.

Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), KPM mengoperasikan sebanyak 121 buah sekolah murid OAP di bawah Inisiatif #57.

Daripada jumlah itu, terdapat 98 buah sekolah murid Orang Asli di negeri Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor, manakala 23 buah lagi adalah sekolah murid Peribumi di Sabah (Dusun Bonggi) dan Sarawak (Penan).

Karnival yang diadakan pada 20 hingga 22 Ogos 2024 bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur itu juga adalah selaras dengan ketetapan aktiviti sokongan dalam Sasaran Pencapaian Utama (Key Performance Indicator) Inisiatif #57 yang memfokuskan kepada kehadiran murid Orang Asli serta transisi murid Orang Asli dari tahun 6 ke tingkatan 1.

Karnival itu merupakan platform utama bagi menarik minat murid OAP untuk meningkatkan penglibatan dalam aktiviti kokurikulum serta memupuk kemenjadian mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram