Murahnya nyawa, penduduk Klang tak peduli risiko guna 'jalan pintas' rel kereta api


  • Massa
  • Selasa, 15 Okt 2024

Masih ada lagi segelintir penduduk yang sanggup merisikokan nyawa mereka dengan mengambil jalan pintas dengan menyeberangi landasan kereta api di Jalan Gedung Raja Abdullah dekat Klang, Selangor.

MASIH ada lagi segelintir penduduk yang sanggup merisikokan nyawa mereka menggunakan jalan pintas dengan menyeberangi landasan kereta api di Jalan Gedung Raja Abdullah dekat Klang, Selangor ketika ini.

Presiden Persatuan Pengguna Klang, A. Devadass berkata, sebahagian pagar yang dipasang di kedua-dua belah landasan telah rosak tiga tahun lalu sebelum dibaik pulih oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

"Awal tahun ini, pagar tersebut rosak lagi, dan saya melihat ada orang awam yang melintas landasan itu sekali gus mempertaruhkan nyawa mereka," katanya.

BACA LAGI: Nyawa di hujung tanduk, Dr Mohd Khir Rezza imbau semula pengalaman rawat tentera parah akibat letupan

BACA LAGI: 'Tirai hitam' Kemboja, kesan darah 'melekat' 5 dekad jadi saksi betapa peritnya hidup bawah rejim Khmer Rouge

Presiden Persatuan Pengguna Klang, A. Devadass

Devadass menjelaskan, sesetengah penduduk mengambil jalan pintas untuk pergi dan balik dari Jalan Gedung Raja Abdullah ke Jalan Tepi Sungai.

"Pagar itu juga dipasang untuk menghalang penduduk di Jalan Tepi Sungai daripada melintas ke Jalan Gedung Raja Abdullah sebagai jalan pintas ke Little India, Klang," katanya.

Tambah beliau lagi, tindakan melintasi landasan tersebut kini lebih berisiko kerana tren komuter elektrik bergerak lebih laju berbanding tren kargo yang lebih perlahan dan bising.

"Ini meningkatkan kemungkinan berlakunya kemalangan ketika melintas landasan," ujarnya.

Devadass turut menegaskan mustahil bagi tren yang sedang bergerak untuk berhenti tepat pada waktunya bagi mengelakkan pelanggaran disebabkan saiz dan beratnya yang besar.

Seorang warga emas dilihat menggunakan jalan pintas dengan menyeberangi landasan kereta api di Jalan Gedung Raja Abdullah dekat Klang.

Beliau menggesa KTMB untuk segera memperbaiki pagar yang rosak itu.

Pada 10 Oktober, The Star melaporkan bahawa KTMB melaporkan sebanyak 282 kes orang yang ditangkap melintasi landasan kereta api antara Januari hingga Ogos tahun ini.

KTMB telah memberi amaran bahawa mereka yang didapati merosakkan pagar atau menceroboh ke landasan boleh dikenakan denda sehingga RM1,000.

Jurucakap Perbadanan Aset Keretapi (RAC) ketika dihubungi memaklumkan sekumpulan pekerja telah dikerahkan untuk memeriksa keadaan di di kawasan tersebut. — The Star/EDWARD RAJENDRA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram