PEMANDU wanita yang menyebabkan kematian tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, 9 Oktober lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Dungun pada Selasa atas pertuduhan membunuh.
Memetik laporan berita Harian Metro, tertuduh, Norizan Ismail,49, berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa atas pertuduhan membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20.
BACA LAGI : Suspek wanita rempuh 4 penuntut UiTM Dungun tak pernah terima rawatan mental
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun pukul 7.35 malam pada 9 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi empat puluh tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai Johor Bharu dan menetapkan 7 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azizan Abdullah dan Nur Azhani Azman manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.
Selain itu, tertuduh yang juga ibu kepada tiga anak itu juga akan berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram