[VIDEO] Hajat kumpul dana bawa keluarga berhijrah ke Mesir tak kesampaian, pelajar Palestin maut terbakar hidup-hidup angkara bom Israel


  • Tular
  • Selasa, 15 Okt 2024

Shaaban Ahmad Al-Dalou dilihat bergelut dan mengerang kesakitan sebelum meninggal dunia akibat pengeboman Israel.

VIDEO seorang lelaki Palestin yang terbakar hidup-hidup akibat pengeboman Israel yang tular sejak awal pagi Selasa meruntun jiwa warga maya.

Manakan tidak, mangsa yang dikenali Shaaban Ahmad Al-Dalou itu dilihat bergelut dan mengerang kesakitan sebelum meninggal dunia.

Menerusi perkongsian di laman X (Twitter), pemuda berusia 20 tahun berkenaan maut dalam api yang marak dalam khemah yang diduduki di luar Hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah, Gaza.

BACA LAGI: 'Hanya terbayang wajah isteri dan anak', Hasli trauma imbau tragedi helikopter PDRM terhempas di Tanah Merah

BACA LAGI: [VIDEO] Semangat tentera namun berjiwa atlet, perjalanan luar biasa Saddam Pittli sebagai anak jati Teluk Intan

Lebih memilukan lagi, ibu serta keluarga mangsa yang berada di khemah yang sama turut maut akibat kebakaran itu.

Seorang pengguna X, @Dina Sulaeman memaklumkan ketika kejadian, Shaaban sedang mendapatkan rawatan kerana mengalami masalah kesihatan ekoran daripada kekurangan zat makanan.

Menurut seorang lagi warga maya, @Shahrowaulam mangsa merupakan mahasiswa kejuruteraan perisian di Universiti al-Azhar, Gaza dan merupakan huffaz yang menghafal keseluruhan isi Al-Quran.

"Shaaban Ahmad Al-Dalou, seorang pelajar jurutera perisian dan juga penghafal Al-Quran, adalah pemuda yang dilihat terbakar hidup-hidup dalam pembunuhan beramai-ramai membakar khemah orang yang dipindahkan di Hospital Syuhada Al-Aqsa tengah-tengah Semenanjung Gaza," tulisnya.

Selain Shaaban, puluhan mangsa turut maut dan cedera parah daripada dalam serangan yang dilakukan Israel pada waktu malam itu.

Pada masa sama, turut tular satu video Shaaban merayu kepada dunia untuk membantu dia dan keluarganya melarikan diri dari zon perang yang dipenuhi khemah ke Mesir supaya mereka berpeluang untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Katanya, dia merupakan anak sulung dan menjaga empat orang adik serta ibunya di khemah tersebut dan sedang mengumpul dana untuk berpindah ke Mesir.

Dalam video terakhir Shaaban itu juga, mereka telah banyak kali berpindah ke kem pelarian yang lain susulan daripada serangan tentera Israel sejak tahun lalu.

Sementara itu Facebook Palestinian Youth Movement berkata, Shaaban telah berusaha mengumpul dana selama berbulan-bulan bagi memindahkan keluarganya ke Mesir sehingga perang tamat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram