PENGAMBILAN kolagen sememangnya sudah menjadi sebahagian daripada amalan dalam dunia penjagaan diri dan kesihatan.
Ini selepas ia didapati mempunyai khasiat membantu mengembalikan keremajaan diri, sekali gus menggalakkan penjagaan kesihatan lebih baik untuk kulit.
Dalam pada itu, perkembangan penggunaannya juga menyaksikan ia kini turut diambil dalam pelbagai bentuk termasuk menerusi serbuk minuman.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Menyedari mengenai peningkatan permintaan terhadap produk tersebut, pemilik kafe Bliss Babe, Joyce Yiap tampil berkongsi resipi minuman menggunakan kolagen marin dan kolagen berasaskan tumbuhan untuk individu yang mengutamakan kesejahteraan.
Beliau yang merupakan penggemar penjagaan kecantikan dan kesihatan berkata, tidak hanya menekankan campuran kolagen serbuk dalam aneka pilihan kategori minuman, kafenya tersebut yang merupakan pertama seumpamanya di sekitar Lembah Klang turut menumpukan penyediaan hidangan organik.
Bliss Babe menyediakan lebih 50 minuman campuran kolagen.
“Kini, kolagen mendapat permintaan tinggi dalam pembangunan pemakanan sihat dan menjadi ramuan penjagaan kecantikan.
“Suntikan kolagen bukan pilihan bagi kebanyakan individu. Jadi alternatif terbaik untuk mereka mendapatkan kolagen adalah melalui diet atau dicampurkan dalam minuman,” ujarnya yang memulakan operasi kafe di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor pada awal Disember 2022.
Joyce yang menjalankan perniagaan itu bersama rakan kongsi, Phil Captain berkata, lebih 50 pilihan minuman disediakan menggunakan buah-buahan dan teh premium yang dicampurkan bersama kolagen.
Bliss Babe turut menyediakan hidangan diet sihat.
“Menu minuman terbahagi kepada empat siri iaitu Collagen Pudding Series yang menumpukan gabungan buah dan puding. Ia berbeza dengan 3 Generations and Beyond menggabungkan kemanisan gula merah, kurma merah dan halia di dalam teh.
“Berbeza pula siri Vitamin Booster diberikan penambahan kolagen sebanyak 10 gram dan siri Collagen Tea and Cheese Foam memberikan rasa teh dengan lemak keju.
Hidangan diet sihat
Kafe Bliss Babe yang terletak di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor.
“Terbaharu, siri kopi dan penambahan menu minuman menggunakan campuran bahan kaya khasiat kesihatan seperti ubi keledek ungu dan biji bijan,” ujarnya.
Melengkapkan tema kafe dekorasi warna ceria ungu dan merah jambu itu, Joyce turut mengetengahkan pilihan menu pemanis mulut memberi tumpuan keseimbangan diet bagi mengembalikan keremajaan.
“Semua bahan digunakan kategori premium keluaran tempatan dan tepung organik manakala gula merah atau madu sebagai pengganti gula proses.
“Hidangan signatur Dutch Baby Pancake terbahagi kepada dua pilihan iaitu sweet atau savoury. Kami juga menyediakan menu Slimming Donut adunan khusus menggunakan tepung organik.
“Roti Bao some diperbuatkan dengan pelbagai inti seperti teh matcha dan kacang merah juga memberikan kelainan rasa,” ujarnya.
Bliss Babe juga menawarkan hidangan pemanis mulut.
Menariknya tentang kafe yang boleh memuatkan 20 pelanggan dalam satu masa adalah promosi set menu mampu milik walaupun menggunakan bahan berkualiti dan organik.
“Saya harap dengan adanya promosi tawaran harga rendah dengan pemilihan menu minuman dan makanan premium dapat menggalakkan lebih ramai ke arah gaya hidup sihat.
“Hidangan di sini juga mengekalkan standard buat pelanggan meneruskan budaya diet sihat,” jelasnya.
Kesemua menu ditawarkan Bliss Babe bermula RM5 hingga RM28. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram