Angkara elak langgar helang atas jalan, imam maut kereta terbabas di Manjung lepas lawat kelahiran anak


  • 112
  • Khamis, 10 Okt 2024

Nurul Kamal (gambar kecil) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. — Bomba Perak

KEMALANGAN maut mengorbankan seorang imam di Kilometer 211.8 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) di Sitiawan, Manjung, Perak dipercayai berpunca selepas kenderaan dipandu mangsa cuba mengelak melanggar seekor helang di atas lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian itu pada pukul 4.35 petang Selasa.

Menurutnya, mangsa Nurul Kamal Zulkarnain, 37, yang memandu Perodua Kembara dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas kerana mahu mengelak burung helang di atas jalan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

“Kenderaan dinaiki mangsa terbabas sendiri ke bahu jalan sebelah kiri sebelum melambung masuk ke kawasan pokok sawit di tepi jalan sebelah kiri lebuh raya terbabit.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit sebelum dikeluarkan bomba. Bagaimanapun, lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan.

462241358_18284433790239287_1431496124381035246_n

Allahyarham Nurul Kamal meninggalkan seorang isteri dan tiga cahaya mata. — Facebook

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Siti Syakilla Azmira Abd Aziz di talian 019-8804450 atau 05-6899072.

Terdahulu, media melaporkan, Nurul Kamal yang juga seorang imam dan bertugas sebagai guru takmir maut ketika dalam perjalanan pulang selepas melawat isterinya yang baru melahirkan cahaya mata mereka di Hospital Seri Manjung.

Difahamkan, arwah ketika itu dijadual untuk menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Bandar Universiti.

Terdahulu media melaporkan, kemalangan terbabit berlaku selepas mangsa melawat isterinya, Nur Firdaus Salwa Zamrin, 30, yang baru melahirkan anak di Hospital Seri Manjung dan dalam perjalanan pulang ke Seri Iskandar untuk menyampai kuliah Maghrib di Masjid Bandar Universiti, Seri Iskandar.

Allahyarham Nurul Kamal meninggalkan seorang isteri dan tiga cahaya mata terdiri daripada anak lelaki berusia dua tahun dan dua anak perempuan masing-masing berusia empat tahun serta dua hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram