[VIDEO] Pemandu wanita terselamat, lori tangki minyak terbakar sampai rempuh penghadang jalan di Lebuhraya Elite


  • 112
  • Sabtu, 12 Okt 2024

Tangkap layar insiden kebakaran membabitkan sebuah lori tangki minyak di Lebuhraya Elite, berhampiran KM 44.4 arah Utara dari Nilai Utara ke Bandar Serenia pada Sabtu.

SATU kemalangan dilaporkan berlaku membabitkan sebuah lori tangki muatan minyak kelapa sawit di Lebuhraya Elite, berhampiran KM 44.4 arah Utara dari Nilai Utara ke Bandar Serenia, Dengkil, Selangor pada Sabtu.

Difahamkan, lori terbabit terlebih dahulu hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sehingga mengakibatkan kebakaran di bahagian tayar hadapan dan belakangnya.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari itu turut membabitkan dua buah kereta yang terlanggar serpihan kenderaan bertaburan di atas lebuh raya.

BACA LAGI: Nyawa di hujung tanduk, Dr Mohd Khir Rezza imbau semula pengalaman rawat tentera parah akibat letupan

BACA LAGI: 'Berkawad di dapur', diet setiap platun berbeza, pensyarah MSU 'berjuang' dalam dunia kulinari TLDM

Menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia di laman Facebook, insiden itu mengakibatkan laluan dan trafik sesak di kedua-dua arah.

Video kejadian sempat dirakamkan seorang pengguna dashcam dan meraih perkongsian ramai di laman sosial.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, siasatan awal mendapati nahas berpunca daripada lori tangki berkenaan yang sedang dalam perjalanan dari Jasin, Melaka ke Klang, Selangor.

Katanya, kenderaan berat dipandu seorang lelaki berusia 53 tahun itu gagal dikawal dan terlanggar Proton Saga yang dipandu di lorong kanan dan pelanggaran tersebut menyebabkan kereta berkenaan berpusing dan melintang di tengah lebuh raya.

"Selepas itu, lori tangki melanggar besi penghadang jalan sebelah kanan (di tengah lebuh raya) sehingga memasuki laluan arah bertentangan dan berhenti di lorong kecemasan dalam keadaan terbakar.

"Kemalangan itu menyebabkan serpihan kenderaan berterabur di atas lebuh raya dan menyebabkan dua lagi kereta iaitu jenis Perodua Bezza dan Mazda CX3 yang dari arah bertentangan terlanggar serpihan itu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, pemandu Proton Saga iaitu seorang wanita berusia 21 tahun terselamat dengan hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan.

"Manakala mangsa-mangsa lain yang terbabit dalam kemalangan ini termasuk pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Dalam pada itu, polis meminta kerjasama saksi atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan terbabit untuk tampil membantu siasatan polis.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi Pusat Kawalan Polis Daerah Nilai melalui talian 06-7904389 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Muhammad Farid Danial Azli melalui talian 012-9122198. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram