Joey Daud beli sampai 2 pasang, pemegang watak P Ramlee tak sangka hadiah ibu jadi pencetus idea bina empayar batik


  • Bizz
  • Selasa, 08 Okt 2024

Amai memulakan perniagaan pakaian baju batik sejak 2018.

BAGI yang mengikuti industri hiburan tanah air khususnya drama serta filem Melayu, Amai Kamaruddin bukan satu nama yang asing.

Ini kerana wajahnya biasa dilihat mewarnai skrin layar tempatan menerusi pelbagai drama seperti Syurga Nur, Akademi Polis, Hero Bomba, Bukan Kerana Aku Tak Cinta dan Suamiku Paling Sweet serta filem antaranya Volkswagen Kuning, Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior.

Pada masa sama, perjalanan karier lakonannya turut mencapai tahap membanggakan apabila diberikan penghormatan untuk membawakan watak seniman agung tanah air, Tan Sri P Ramlee dalam filem bertajuk Showtime 1958 pada 2020.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

AAAABQRZ01JkMcLAD2h8-f7idOpPAscPhGQvZp74dfJGnfXuG8EJtnqftx11QHPIDKXRzwFFd2PqogLauE88qwtWiYRQu3z-_f60BfqY

Amai (kiri) ketika membawakan watak P Ramlee menerusi filem Showtime 1958. — Netflix

Filem yang mengangkat tema kisah benar mengenai kisah perit perjuangan anak seni ketika zaman Studio Jalan Ampas itu turut merangkul anugerah di Asian Cinematography Awards (ACA) 2021 di Manila, Filipina.

Minatnya terhadap dunia lakon layar menyaksikan Amai bersama isterinya, Wan Nur Ilani, 35, turut membuat keputusan bagi mewujudkan syarikat penerbitan filem yang dikenali sebagai Millionaire Films Production.

6062048998174343246

Antara rekaan baju batik keluaran UDaRa Batik.

Antara filem pernah dihasilkan di bawah penerbitan berkenaan adalah Amukan Kuntilanak pada 2019 dan yang terbaharu bakal ditayangkan pada tahun ini, Misteri Fraser 1910.

Di tengah-tengah kesibukannya menguruskan perjalanan seninya, anak kelahiran Kajang, Selangor ini turut menjalankan perniagaan batik menerusi jenamanya UDaRa Batik.

Amai berkata, perniagaan pakaiannya itu sudah dimulakan kira-kira enam tahun lalu iaitu pada 2018 ekoran minatnya terhadap batik.

Ujarnya, idea awal mewujudkan jenama tersebut juga sebenarnya tercetus secara tidak langsung selepas dia menerima hadiah kain batik daripada ibunya.

"Saya ini memang minat baju batik khususnya yang warna terang. Satu hari itu mak saya bagi saya kain batik. Saya tengok kain batik itu, macam cantik pula kalau saya buat baju.

"Jadi bermula daripada situ saya pun terdetik untuk buat produk ini," katanya kepada Majoriti.

Amai berkata, dia memulakan perniagaannya itu secara kecil-kecilan dibantu oleh ibu dan isterinya yang menjahit pakaian tersebut dari rumah.

Ujarnya, jumlah awal baju dihasilkan juga hanya sekitar 10 helai.

461944469_1071863791611565_671827796365184906_n

Antara pelanggan yang membeli di reruai UDaRa Batik yang dibuka di MITI Day 2024 baru-baru ini. — UDaRa Batik

"Mula-mula itu saya bawa 10 helai pergi ke tempat penggambaran. Sebab kita waktu itu pun berlakon. Antara yang terawal menunjukkan minat ialah Joey Daud (Zulkifli Daud). Dia pun minat batik. Jadi dia beli dua pasang waktu itu.

"Dari situlah tercetus untuk saya buat lagi besar dan keluarkan modal," katanya.

Amai berkata, pemilihan nama UDaRa Batik terinspirasi daripada perkataan uda dan dara bagi menunjukkan bahawa jenama terbabit menyediakan pakaian untuk lelaki dan perempuan.

Menurut Amai, jumlah pengeluaran UDaRa Batik yang kini dihasilkan di kilang mencecah kira-kira 1,000 helai setiap bulan.

Ujarnya, jumlah tersebut juga akan meningkat menjelang tempoh bulan perayaan Aidiladha.

Dalam pada itu, Amai berkata, berbeza dengan jenama lain yang berada di pasaran, jenamanya menawarkan rekaan yang unik termasuk daripada segi pemilihan warna dan motif.

"Rekaan kita memang tak sama macam jenama lain. Memang tak akan jumpa dekat luar. Daripada segi pemilihan warna juga, kita akan cuba gabungkan pelbagai hingga dua tiga warna," ujarnya yang kini turut seramai 10 orang pekerja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram