PEMANGKU Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa keputusan menukar cuti umum kepada Sabtu dan Ahad berdasarkan izin Yang Di-Pertuan Agong dan pandangan beberapa pihak termasuk rakyat.
Tegas baginda, keputusan itu dibuat selepas mendapat izin daripada YDP Agong, Sultan Ibrahim serta pandangan Majlis Agama Islam Negeri Johor, Kerajaan Negeri, agensi-agensi kerajaan dan rakyat.
"Ada beberapa negeri masih kekal bercuti hari Jumaat dan Sabtu.
"Dalam mempertimbangkan isu berkaitan kehendak rakyat Johor untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak, kesan ekonomi yang positif adalah seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di negeri Johor.
"Ini seterusnya akan membawa keuntungan kepada negeri dan rakyatnya," kata baginda menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambah baginda, pihak yang kurang senang dengan keputusan itu boleh berpindah ke negeri lain yang masih mengekalkan cuti Jumaat dan Sabtu.
"Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu," tegasnya.
Terdahulu baginda menitahkan bahawa bermula 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bagi memberi ruang kepada pekerja muslim menunaikan solat Jumaat.
Perkara itu mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sebelum ini, cuti hujung minggu negeri Johor pada 2014 ditukar kepada Jumaat dan Sabtu susulan titah Sultan Ibrahim yang menitahkan pertukaran cuti tersebut.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram