DALAM konteks perkahwinan, isu perceraian sering kali menjadi perbincangan yang rumit dan sensitif.
Mengulas mengenai hal ini, proses perceraian mestilah diatur dengan teliti untuk memastikan keadilan dan hak kedua-dua belah pihak.
Sekiranya kita memahami secara mendalam, terdapat beberapa kaedah perceraian yang diberi dalam Islam, namun masih ada segelintir masyarakat di luar sana keliru akan beberapa kaedah perceraian terutamanya tebus talak dan juga fasakh.
BACA LAGI: [VIDEO] Ustaz Syamsul Debat kongsi 5 amalan 'power' elak terkena pukau
Menurutnya, perceraian fasakh biasanya adalah disebabkan oleh penderaan atau pengabaian. — Agensi
Apakah sebenarnya perbezaan mengenai proses itu yang dilihat seakan hampir sama?
Mengulas topik berkenaan, pendakwah bebas, Ustaz Suhail Sufian berkata, salah satu konsep penting dalam sistem perceraian Islam ialah tebus talak yang memberikan hak kepada isteri untuk memohon cerai dengan bayaran tertentu di mahkamah.
Katanya, proses tersebut bukan sahaja mencerminkan keadilan dalam hubungan, tetapi juga memastikan bahawa hak dan tanggungjawab kedua-dua pihak diambil kira.
"Dalam konteks ini, tebus talak bermaksud isteri meminta cerai dari suami dan ini merupakan salah satu bentuk keadilan dalam Islam.
"Apabila suami menghadapi masalah dan isteri tidak memiliki jalan lain, isteri boleh memohon cerai di mahkamah.
"Setelah diadili, jika mahkamah memutuskan bahawa perceraian adalah perlu, isteri boleh menebus talak dengan bayaran tertentu dan ini adalah hak isteri untuk melakukannya.
"Mengenai bayaran dalam tebus talak, kebiasaannya jumlah tersebut ditentukan oleh mahkamah berdasarkan keadaan dan keadilan.
"Jadi, mahkamah akan menetapkan nilai bayaran yang sesuai dalam kes khuluk ini," katanya kepada Majoriti.
Mengupas lebih terperinci, Suhail berkata, perbezaan antara tebus talak dan fasakh terletak pada lafaz dan prosesnya.
Secara mudahnya, tebus talak atau pun khuluk adalah perceraian yang dimohon oleh isteri apabila suami menceraikan isteri dengan bayaran tertentu.
"Kebiasaannya, ini terjadi dalam situasi di mana pasangan tidak sehaluan atau sering bertengkar.
"Jadi si isteri memohon untuk menceraikan suami melalui nasihat mahkamah.
"Manakala, fasakh pula adalah perceraian yang ditetapkan oleh mahkamah dalam situasi suami tidak mahu menceraikan isteri, tetapi mahkamah berasakan bahawa perceraian adalah perlu.
Perceraian tebus talak yang dimohon oleh isteri apabila suami menceraikan isteri dengan bayaran tertentu. — Jabatan Pendakwaan Syariah Perak
"Bagi perceraian seperti ini biasanya adalah disebabkan oleh penderaan atau pengabaian.
"Dalam kes fasakh, keputusan boleh diambil tanpa kehadiran suami.
"Jadi, tebus talak biasanya terjadi dalam situasi isteri yang meminta cerai, manakala fasakh lebih kepada kes di mana mahkamah yang mengambil inisiatif untuk memisahkan pasangan," jelas Suhail.
Suhail menekankan bahawa implikasi tebus talak adalah sama dengan talak, tetapi ia memberi pilihan kepada isteri untuk mengambil langkah tersebut.
"Ini memastikan bahawa hak dan pilihan tidak hanya diberikan kepada suami, tetapi juga kepada isteri.
"Dalam konteks keadilan Islam, hak datang bersama tanggungjawab. Suami diberikan hak untuk menceraikan tanpa pergi ke mahkamah kerana mereka bertanggungjawab untuk menanggung isteri.
"Namun, jika isteri ingin memohon cerai, dia perlu melalui proses mahkamah," katanya.
Begitupun jelas beliau, kini talak juga perlu diputuskan di mahkamah untuk disahkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram