[VIDEO] Dua kawasan di Cameron Highlands dilanda banjir kilat, tanah runtuh


  • 112
  • Selasa, 08 Okt 2024

Tangkap layar video kejadian bencana pada Isnin yang tular di media sosial.

KEJADIAN tanah runtuh dan banjir kilat dilaporkan berlaku di dua kawasan di Cameron Highlands, Pahang pada Isnin melibatkan Kampung Sungai Ruil dan Golden Hill, Brinchang.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Azri Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu sekitar pukul 5.35 petang.

Susulan daripada itu, beliau berkata, seramai 43 penduduk daripada lapan keluarga yang rumah mereka berisiko terjejas telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebagai langkah keselamatan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut.

"Jika sekiranya mempunyai sebarang maklumat, boleh menghubungi Bilik Gerakan (DCC) di talian 05-4915999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.

Terdahulu, tular beberapa video memaparkan kejadian tanah runtuh sehingga mengakibatkan berlakunya kejadian arus air deras yang menyebabkan banjir kilat di sebuah kawasan perumahan di Cameron Highlands.

Berdasarkan klip tersebut, anggota bomba dilihat turut berada di lokasi kejadian.

Kejadian berkenaan difahamkan terjadi ekoran hujan lebat berterusan dan aliran air deras sehingga menutupi jalan keluar dari kawasan kampung tersebut.

Sementara itu, JAKOA dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan seramai 31 mangsa di Kampung Sungai Ruil dipindahkan ke PPS di Pusat Komuniti Sungai Ruil.

Kenyataan itu memaklumkan sebanyak 11 unit premis kediaman terjejas dalam kejadian banjir dan sebuah lagi rumah rosak akibat tanah runtuh.

Ujarnya, pasukan keselamatan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis Dan anggota bomba sudah berjaya mengawal keadaan di lokasi.

”Pihak JAKOA turut memberi bantuan bakul makanan kepada 12 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terbabit,” jelas kenyataan itu lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram