'Kes berat cuma tak boleh tinggal asrama', polis terima 12 laporan buli anak, Tam Spider kesal jadi tumpuan


  • Massa
  • Rabu, 09 Okt 2024

Tam Spider meluahkan rasa kesal ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjaja cerita sehingga menimbulkan salah faham kepada dirinya.

VOKALIS utama kumpulan Spider, Tam atau Rustam Mustafah tampil memperjelaskan kes buli anaknya dan memaklumkan dia tidak pernah membuat sebarang repot polis tetapi hanya memberi keterangan untuk membantu siasatan.

Menurutnya, ada sesetengah kenyataan telah ditokok tambah sehingga menyebabkan kekeliruan.

"Ini adalah salah faham yang berlaku sekarang. Ceritanya, saya tidak membuat sebarang laporan.

BACA LAGI: [VIDEO] Kecil-kecil sudah resap semangat tentera, anak jati Johor Bahru jadi watak penting BlackParade Tactics

BACA LAGI: Kes buli anak Tam Spider, KPM takkan berkompromi

"Sebenarnya laporan polis tersebut dibuat oleh ibu bapa pelajar yang lain dan mereka memasukkan sekali nama anak saya dalam laporan itu.

"Masalahnya, sekarang terdapat banyak media yang salah melaporkan perkara tersebut sehingga menyebabkan kekeliruan dan salah maklumat.

"Saya sangat kesal kerana nama saya yang menjadi tumpuan dan bukannya ibu bapa lain. Mungkin kerana saya seorang selebriti, ia menarik lebih perhatian media," katanya kepada Majoriti.

Jelas penyanyi berusia 51 tahun itu lagi, dia turut berasa kesal dengan kejadian berlaku.

"Ada yang dakwa mereka (pembuli) mungkin akan dibuang sekolah, tetapi sebenarnya mereka hanya dibuang dari asrama, bukan dibuang sekolah.

"Mereka dibenarkan meneruskan pelajaran kerana sedang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia, tetapi tidak dibenarkan tinggal di asrama. Kes ini memang berat, tetapi masih diberi kelonggaran untuk terus belajar, cuma tidak boleh tinggal di asrama," katanya.

Bukit Aman CID deputy director (Investigation/Legislation) DCP Datuk Rusdi Mohd Isa.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur memaklumkan menerima 12 laporan berhubung kes buli di sebuah sekolah berasrama yang turut membabitkan anak Tam Spider dan Khir Rahman.

Tam turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa anaknya mengalami kecederaan serius ketika menjadi mangsa buli.

"Anak saya sebenarnya tidak cedera parah, tidak ada mulut yang pecah atau pekak seperti yang dilaporkan.

"Kejadian buli itu memang berlaku pada tahun lepas tetapi tidaklah sampai memudaratkan.

"Saya harap wartawan atau pihak media dapat lebih berhati-hati dalam menulis berita, supaya tidak timbul salah faham yang boleh merosakkan hubungan saya dengan keluarga yang lain dan juga dengan pihak sekolah," jelasnya.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Relaku Pujuk itu turut berharap agar pihak sekolah lebih telus dalam menangani isu buli tersebut.

"Apa yang saya ingin tekankan adalah pihak sekolah sepatutnya lebih telus dalam menangani kes buli ini. Kenapa tindakan tegas tidak diambil lebih awal?

"Mengapa ibu bapa tidak dimaklumkan dari awal bahawa ada pelajar bermasalah? Pelajar-pelajar yang bermasalah ini mengganggu pelajar lain, dan itu yang menjadi masalah besar bagi saya.

"Sekali lagi, saya berharap kes ini dapat diselesaikan dengan baik. Ibu bapa, pelajar yang membuli dan mangsa buli dapat bertemu dan menyelesaikan hal ini dengan cara yang elok. Pihak sekolah juga perlu lebih telus dalam menguruskan hal ini, supaya tidak timbul salah faham lagi," tegasnya.

Terdahulu, media melaporkan polis menerima 12 laporan berhubung kes buli di sebuah sekolah berasrama yang turut membabitkan anak kepada penyanyi kumpulan Spider, Tam dan pelakon, Khir Rahman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sebahagian laporan dibuat oleh pelajar yang menjadi mangsa buli dan sebahagiannya adalah daripada ibu bapa kepada mangsa lain.

"Siasatan awal mendapati kesemua mangsa terdiri daripada pelajar berusia antara 14 hingga 16 tahun dan pembuli terdiri daripada pelajar berusia 17 tahun.

"Sebanyak tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram