[VIDEO] Kerajaan Turkiye kutuk tindakan Sweden beri kebenaran lelaki ateis bakar al-Quran


  • Benua
  • Khamis, 29 Jun 2023

Salwan Momika dibenarkan melakukan pembakaran al-Quran yang dirancang di ibu negara Sweden. — Agensi

KERAJAAN Turkiye mengecam keputusan pihak berkuasa Sweden yang membenarkan demonstrasi pembakaran kita suci al-Quran di luar masjid di Stockholm pada Rabu, sekali gus menjadikan ia satu langkah yang boleh menjejaskan usaha Sweden menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebelum persidangan penting blok tersebut pada bulan depan.

Kebenaran itu diberikan kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai Salwan Momika, 37, untuk melakukan pembakaran al-Quran yang dirancang di ibu negara Sweden.

Menurut polis Sweden, keputusan untuk membenarkan protes tersebut dilakukan adalah berdasarkan hak kebebasan bersuara dan demonstrasi itu tidak mencetuskan sebarang risiko keselamatan.

Bagaimanapun, protes berkenaan hanya mengundang kemarahan Turkiye iaitu sebuah negara anggota NATO yang dilihat menghalang usaha Sweden untuk bergabung.

Sweden dan negara jirannya, Finland secara rasmi memohon untuk menyertai blok tersebut setelah Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine.

Malah, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan mengutuk protes tersebut dengan menyifatkannya sebagai perbuatan yang keji.

"Adalah tidak dapat diterima untuk membenarkan tindakan anti-Islam ini dengan alasan kebebasan bersuara.

"Menutup mata terhadap tindakan keji seperti ini adalah seperti bersubahat dalam tindakan tersebut," kata dalam satu kenyataan.

Selain itu, Pengarah Komunikasi Kerajaan Turkiye, Fahrettin Altun dalam ciapan di Twitter turut mengutuk tindakan tersebut.

"Kami sudah muak dengan kebenaran terhadap Islamofobia dan kebencian berterusan terhadap agama kami oleh pihak berkuasa Eropah terutamanya di Sweden.

"Mereka yang ingin menjadi sekutu kami dalam NATO, tidak boleh bertolak ansur atau membolehkan tingkah laku yang merosakkan pengganas Islamofobia dan xenofobia," katanya.

Dalam perkembangan lain, memetik laporan media antarabangsa CNN, Salwan Momika berkata, dia tiba di Sweden lima tahun lalu dari Iraq dan memiliki kerakyatan negara itu.

Salwan turut memberitahu, dia adalah seorang ateis dan tidak mempunyai agama.

“Kitab suci al-Quran ini harus diharamkan di dunia kerana bahaya yang ditimbulkannya kepada demokrasi, etika, nilai kemanusiaan, hak asasi manusia, dan hak wanita.

"Ia tidak berfungsi pada zaman ini,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram