[VIDEO] Juruteknik maut bukan pekerja kereta kabel Langkawi SkyCab — PLSB


  • Massa
  • Jumaat, 04 Okt 2024

Mangsa yang terjatuh dari besi penahan platform kaca pada ketinggian 40 meter di lereng Gunung Machincang, Langkawi bukanlah ketika waktu penyelenggaraan. — Facebook

PANORAMA Langkawi Sendirian Berhad (PLSB) memberitahu bahawa insiden melibatkan seorang juruteknik yang maut selepas terjatuh dari platform kereta kabel di Langkawi, Kedah pada Khamis bukan pekerja syarikat tersebut.

Syarikat tersebut menjelaskan, mangsa yang terjatuh dari besi penahan platform kaca pada ketinggian 40 meter di lereng Gunung Machincang bukanlah ketika waktu penyelenggaraan.

Katanya, kejadian berlaku ketika perkhidmatan kereta kabel beroperasi dengan lancar mengikut jadual ditetapkan.

BACA LAGI: [VIDEO] Juruteknik terjatuh ketika selenggara kereta kabel Langkawi maut, jatuh dari ketinggian 40 meter

BACA LAGI: [VIDEO] Penutup simen Masjid India terbuka ditiup angin, ramai panik insiden 'sinkhole' berulang lagi

Pihaknya turut menegaskan bahawa setiap kerja-kerja penyelenggaraan di Langkawi SkyCab sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) di kawasan tersebut.

"Sekiranya kerja-kerja perlu dilakukan di tempat tinggi, setiap pekerja perlu mendapat latihan dan mempunyai sijil bekerja beserta Alat Pelindung Diri (PPE).

"Kami bagaimanapun turut bersimpati dengan kejadian itu dan menawarkan kerjasama serta bantuan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, mangsa, Khairul Nizam Jaafar, 41, dilaporkan terjatuh dari platform ketika sedang membaik pulih kenderaan itu dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Waris dan keluarga mangsa juga sudah dimaklumkan dengan mangsa difahamkan baru sahaja tiga bulan bekerja di tempat berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram