[VIDEO] Penutup simen Masjid India terbuka ditiup angin, ramai panik insiden 'sinkhole' berulang lagi


  • Tular
  • Jumaat, 04 Okt 2024

Tangkap layar video memaparkan penutup simen yang terbuka dan tertutup dipercayai akibat ditiup angin di Masjid India, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KEBIMBANGAN terhadap insiden tanah jerlus atau 'sinkhole' menyebabkan kematian seorang warga India di Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos lalu nampaknya kini kembali menghantui rakyat Malaysia apabila tular sebuah video memaparkan keadaan jalan bahaya di sekitar kawasan sama baru-baru ini.

Menerusi video dikongsikan di X @update11111 pada Jumaat, kelihatan penutup simen terbuka dan tertutup dipercayai ditiup angin di berhampiran kawasan kejadian tanah jerlus itu berlaku.

Dalam video sama, kawasan jalan tersebut juga dipenuhi dengan gerai-gerai jualan dan beberapa orang awam.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak lelaki mangsa tanah jerlus kembali ke Malaysia jalankan ritual terakhir buat ibu

BACA LAGI: TikTokers diberi amaran polis jauhi kawasan tanah jerlus di Masjid India

Ia sekali gus menimbulkan ketakutan orang ramai kerana beranggapan bahawa insiden sama berkemungkinan boleh berulang lagi.

Bagaimanapun, belum ada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan berlaku susulan kejadian tersebut setakat ini.

Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga masih belum mengluarkan kenyataan berhubung video terbabit.

Sementara itu, rata-rata warganet membuat pelbagai spekulasi dan andaian bahawa perkara itu berlaku disebabkan tekanan bawah tanah yang terlalu tinggi sehingga menyebabkan penutup simen tersebut boleh terangkat.

"Mungkin tekanan bawa tanah, awas boleh terjadi tanah jerlus lagi," komen @Nur.

"Takutnya, tekanan air bawah tanah mesti deras, air mesti laju sampai bergerak-gerak batu itu ikut," kata @EqinEn.

Justeru, ramai menggesa pihak berwajib mengambil tindakan wajar bagi membendung perkara itu daripada melarat atau menyebabkan kecederaan.

Terdahulu, pelancong wanita, G Vijaya Lakshmi, 48, dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Selepas sembilan hari, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita itu dihentikan tanpa sebarang penemuan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kemudiannya memaklumkan, Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada SAR mangsa lubang benam Jalan Masjid India dan pemeriksaan tanah sebelum ia dibuka kembali awal September lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dalam pada itu memberitahu bahawa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India merupakan kes terpencil dan tidak seharusnya menggambarkan negara ini, khususnya Kuala Lumpur tidak selamat didiami.

Katanya, struktur bangunan didirikan di negara ini adalah selamat mengikut standard yang tinggi dan pemetaan utiliti bawah tanah mengikut koridor utiliti negeri turut dijalankan sepanjang masa secara berfasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram