LOKASI tidak menjadi halangan buat seluruh umat Islam menunaikan ibadah solat meskipun tidak beralaskan sejadah.
Keadaan itu biasanya banyak dihadapi oleh individu yang tidak mampu mendirikan solat di rumah, masjid atau surau atas faktor tidak dapat dielakkan.
Ia juga kerap dihadapi oleh mereka yang terpaksa bergerak ke tempat kerja terutamanya menggunakan pengangkutan awam seperti bas atau kereta api.
BACA LAGI: Kecil-kecil dah berani tunjuk bakat atas pentas, 2 anak Orang Asli harumkan nama Sabah dan Johor
Tatacara menunaikan solat secara duduk di dalam bas, kereta api atau kapal terbang dibolehkan untuk mengelak terlepas waktu sepatutnya. — Gambar hiasan/Agensi
Tatacara solat pula sememangnya dipermudahkan sekiranya berada di dalam situasi tersebut.
Meskipun solat di tempat tidak bergerak lebih afdhal mengikut sunnah Nabi SAW, namun, ulama membenarkan solat fardhu di atas kenderaan seperti kereta api atau kapal terbang.
Memandangkan arah kiblat yang sukar dapat ditentukan kerana pergerakan kenderaan, penumpang digalakkan menentukan arah dengan yakin.
Penumpang juga boleh menunaikan solat dalam keadaan duduk di kerusi sekiranya perjalanan mengambil masa lama sehingga dikhuatiri terlepas waktu sepatutnya.
Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara perlu dititikberatkan ketika menunaikan solat menggunakan kaedah tersebut.
Antaranya adalah posisi dan pergerakan terutamanya ketika rukuk dan sujud seperti yang dikongsikan oleh seorang pengguna akaun Instagram @aselmustafaeva.
Video tersebut juga memaparkan contoh-contoh tindakan salah dan betul yang perlu dilakukan oleh penumpang semasa menunaikan solat.
Kandungan video itu secara tidak langsung dapat memberi kesedaran atau panduan kepada para pengguna kenderaan awam untuk mengikut langkah solat duduk yang tepat.
Namun, penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terutamanya yang memilih perkhidmatan tren elektrik (ETS) kini tidak perlu bimbang kerana kemudahan ruang solat sudah disediakan.
Buat mereka yang mungkin tidak mengetahui tentang kemudahan itu, ruang solat terletak di gerabak atau koc C iaitu berhampiran kaunter makanan dan minuman (F&B).
Surau kecil yang disediakan untuk penumpang ETS. — Blog/Hasrulhasan
Surau kecil itu boleh memuatkan sehingga dua orang dewasa dalam satu masa dan disertakan dengan tempat mengambil wudhuk.
Lebih memudahkan apabila pihak KTMB turut menyediakan sejadah dan telekung buat pengguna wanita.
Jika menggunakan perkhidmatan kereta api lain tanpa ruang itu pula, penumpang juga dibenarkan untuk menunaikan solat di ruang-ruang kecil asalkan tidak mengganggu pengguna lain.
Ia sama seperti beberapa penumpang kereta api yang pernah tular di media sosial sebelum ini kerana solat berjemaah di dalam kenderaan itu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada waktu subuh.
Tindakan itu juga dipuji Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kerana tetap tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai umat Islam walau dalam apa jua keadaan sekali pun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram