Elak terkejut raya awal: Jawatankuasa fatwa bakal berbincang


  • Primer
  • Jumaat, 07 Apr 2023

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar.

JAWATANKUASA Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berkemungkinan akan membincangkan mengenai potensi berlakunya raya awal pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar.

Ia selepas Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emeriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan negara-negara Islam bakal menjalankan kewajipan mencerap hilal bagi menentukan awal bulan Syawal pada 20 April yang berkemungkinan menjadi penghujung Ramadan.

Na'im berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan situasi yang berlaku ketika perayaan Aidilfitri pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, semua pihak perlu bersabar dan menghormati kuasa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk membuat pengisytiharan tarikh 1 Syawal.

"Kuasa itu di bawah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Jadi saya rasa kita kena tunggu. Kita akan bincang di peringkat Jawatankuasa Fatwa dan sebagainya.

"Cuma seboleh-bolehnya kita nak mengelakkan apa yang berlaku pada tahun lepas itu tidak berulang supaya tidak terkejut. Yang itu yang hasrat kita semua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sidang media majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Jumaat.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar.

Mengenai MoU tersebut , SWCorp dan Jawi akan melaksanakan beberapa kerjasama kejasama melibatkan sebanyak 845 buah rumah ibadat di kawasan Wilayah Persekutuan meliputi Kuala Lumpur, Putrajay, dan Labuan.

Ia antanya melibatkan pelaksanaan Program Tandas Masjid dan Surau BMW iaitu Bersih, Menawan dan Wangi dan pembinaan kira-kira 100 pusat kitar semula pandu lalu DTRC di masjid yang mempunyai kawasan luas.

Selain itu, kerjasama itu turut melibatkan penyertaan sekolah-sekolah seliaan Jawi dalam aktiviti dan Pertandingan Kitar Semula Sekolah-sekolah (PerKiSS); pelaksanaan pejabat dan premis Jawi Sifar Sisa (PESIS) serta perkongsian ilmu mengimarahkan alam sekitar dalam kursus pra-perkahwinan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram