Pesara tentera sempat hubungi keluarga beritahu nak pitam sebelum meninggal seorang diri dalam kereta depan klinik di Melaka


  • 112
  • Rabu, 09 Okt 2024

Mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam keretanya yang berada di hadapan sebuah klinik di Cheng, Melaka pada Selasa.

SEORANG pesara tentera ditemukan tidak bernyawa bersendirian dalam kereta di hadapan sebuah klinik swasta di Cheng, Melaka pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa, Mohd Hisyam Omar, 50, sempat menghubungi keluarganya kira-kira lapan jam sebelum meninggal dunia.

Christopher berkata, mangsa yang merupakan penduduk di Taman Desa Taming Sari Sungai Udang ditemukan dalam kereta yang dipandunya iaitu Perodua Viva.

BACA LAGI: Bimbang masa depan kanak-kanak GISBH, Sultan Selangor titah proses pemulihan tak dilengah-lengahkan

BACA LAGI: Akta Perkhidmatan Pos mungkin dipinda, syarikat digalak guna EV dan AI — Fahmi

Menurutnya, waris keluarga memaklumkan bahawa mangsa sempat memberitahu keadaannya seperti mahu pengsan ketika berada di Lebuhraya Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), Melaka pukul 10 pagi.

"Anak mangsa kemudiannya menghubungi telefon bimbit bapanya namun sehingga pukul 6 petang tiada sebarang jawapan sebelum hadir ke Balai Polis Sungai Udang.

"Anak mangsa memaklumkan keadaan bapanya tidak sihat. Kira-kira pukul 7.30 petang, mangsa dimaklumkan ditemui di lokasi kejadian oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa sebelum ini tidak mempunyai sejarah penyakit serta pemeriksaan di lokasi kejadian juga mendapati tiada unsur jenayah malah barang-barang peribadi si mati dalam keadaan baik.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian," katanya.

Tambahnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian ialah serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram