Bimbang masa depan kanak-kanak GISBH, Sultan Selangor titah proses pemulihan tak dilengah-lengahkan


  • Primer
  • Rabu, 09 Okt 2024

Proses pemulihan itu dikendalikan dalam tempoh terdekat dan tidak dilengah-lengahkan kerana membabitkan masa depan kanak-kanak terlibat.

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar satu jawatankuasa dibentuk bagi menghasilkan kertas kerja terperinci untuk mengenal pasti kaedah terbaik memulihkan lebih 600 kanak-kanak Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dengan segera.

Baginda juga menegaskan bahawa ia dapat dikendalikan dalam tempoh terdekat dan tidak dilengah-lengahkan kerana membabitkan masa depan kanak-kanak terlibat.

"Jawatankuasa ini kelak akan melapor terus kepada Sultan serta bertanggungjawab memulihkan kanak-kanak ini, seterusnya diintegrasikan semula ke dalam masyarakat dalam tempoh yang ditetapkan," titahnya menerusi catatan Facebook Pejabat Diraja Malaysia pada Rabu.

BACA LAGI: Selangor tubuh pasukan khas pulihkan anak-anak GISB

BACA LAGI: MAIS laksana proses pemulihan bekas ahli GISBH

462487023_18356244202136613_4025146086471155671_n

Sultan Selangor (tengah) menitahkan agar proses pemulihan kanak-kanak GISBH dilakukan secepat mungkin. — Facebook

Menurutnya, baginda juga berkenan menerima menghadap Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor serta Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin.

Sebelum ini, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dengan berita berkaitan siasatan pihak polis terhadap kegiatan jenayah oleh GISBH dan rangkaiannya.

Sehubungan dengan itu, baginda bertitah semua rumah amal dan sekolah Islam di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah, diarahkan tutup dengan segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor.

Ia sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat daripada terus dianiaya.

Justeru, sebuah pasukan petugas khas bagi memulihkan kanak-kanak GISBH ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Pasukan khas itu juga ditubuhkan berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 2 Oktober lalu.

Ia dipengerusikan bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari.

Pasukan khas tersebut akan dianggotai pada peringkat awal oleh wakil-wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ia turut dianggotai oleh pakar psikologi dan pendidikan kanak-kanak, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor dan Yayasan Selgate serta memberi tumpuan kepada kaedah-kaedah pemulihan bukan sahaja isu-isu akidah tetapi juga kebajikan, isu kesihatan dan perkembangan mental serta fizikal kanak-kanak berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram