
MUSIBAH banjir terus melanda beberapa negeri dengan Perlis dan Kedah merupakan dua negeri paling terjejas dengan jumlah mangsa dipindahkan masih belum menurun setakat Rabu.
Di Kedah, jumlah mangsa meningkat kepada 2,505 orang yang terdiri daripada 907 keluarga berbanding 1,419 orang pada Selasa malam dengan sebanyak 21 pusat perpindahan sementara (PPS) sudah dibuka.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Major Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, 813 mangsa sudah dipindahkan ke enam PPS sekitar daerah Kubang Pasu.
BACA LAGI: Menyorok dalam sangkar kucing, APM Kota Kinabalu berjaya tangkap ular sawa sepanjang 4 meter
BACA LAGI: APM ambil masa 25 minit tangkap ular sawa batik 7 meter telan kambing di Kodiang
Anggota APM terus dikerah untuk membantu mangsa yang terjejas.
Di daerah Kota Setar pula, 716 mangsa ditempatkan di lima PPS, termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah dan SMK Kepala Batas sementara 281 mangsa dipindahkan di Pendang.
"Di Pokok Sena pula, 368 mangsa dipindahkan sementara ke tiga PPS dan di Baling pula, seramai 327 orang yang terkesan ditempatkan di lima PPS," kata Muhammad Suhaimi.
Peningkatan turut disaksikan di Perlis apabila mangsa banjir meningkat kepada 686 individu terdiri daripada 225 keluarga setakat pukul 8 pagi Rabu, berbanding 195 mangsa pada hari sebelumnya.
Pengarah APM Perlis, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud berkata, 429 mangsa dipindahkan ke PPS di Arau sementara baki daripadanya ditempatkan di dua PPS di Kangar iaitu di SK Sena dan SK Bintong.
Ratusan kediaman di negeri terjejas mengalami kerosakan teruk akibat bencana itu. — Orang awam
Bagaimanapun, situasi berbeza dapat disaksikan di Johor apabila cuaca yang semakin cerah membolehkan mangsa yang ditempatkan di beberapa PPS pulang ke kediaman masing-masing.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Rabu, jawatankuasa pengurusan bencana alam berkata, hanya terdapat 496 mangsa dipindahkan di tiga daerah sekitar negeri itu.
Pontian terus menjadi kawasan paling tejejas dengan 244 mangsa dipindahkan, diikuti dengan Kluang yang mencatatkan 235 mangsa sementara terdapat 17 mangsa lain dipindahkan di Batu Pahat.
"Setakat ini, terdapat enam PPS sudah dibuka untuk menempatkan kesemua mangsa," kata jawatankuasa berkenaan sambil menyatakan SK Sri Amon, Pontian memiliki 148 mangsa terdiri daripada 45 mangsa. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram