Berdepan musibah banjir, JPS tingkat kualiti bunyi siren amaran 


  • Primer
  • Khamis, 15 Sep 2022

Siren amaran banjir akan ditingkatkan kualitinya untuk membantu penduduk setempat melakukan tindakan awal.

JABATAN Pengaliran dan Saliran memperkasakan kualiti siren keselamatan amaran banjir bagi membantu penduduk setempat mengambil tindakan segera.

Menurut Ketua Pengarah JPS, Datuk Datuk Md Nasir Md Noh, sebanyak 300 daripada 500 siren dinaik taraf agar dapat menghasilkan bunyi yang lebih kuat dan mampu bertahan lebih lama berbanding sebelum ini.

Katanya, dahulu penduduk mengadu bunyi kedengaran terlalu perlahan dan hanya mengeluarkan bunyi selama seminit.

"Bunyi siren yang ada sekarang agak perlahan. Oleh itu kami berusaha untuk melakukan penambahbaikan agar dapat mengeluarkan bunyi yang lebih kuat dan mampu bertahan selama dua minit.

"Selain bunyi siren, pengumuman kesalaman turut akan dibuat agar komuniti lebih peka dan segera bertindak menyelamatkan diri," katanya kepada Majoriti.

Shaharudin turut mengatakan pihaknya sedang melakukan beberapa uji jalan ke atas siren bagi memastikan dapat berfungsi dengan baik seperti yang dirancang.

Beliau menjelaskan ketika hadir majlis Taklimat Program Agensi Teknikal dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bersama Media di Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) di Selangor pada Khamis

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) bersetuju supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) segera diaktifkan di semua lokasi bencana sebagai persiapan awal.

Perkara itu bertujuan JPBD dapat mempersiapkan segala keperluan dalam berdepan dengan risiko banjir bakal berlaku sekitar November ini sehingga Mac depan ketika Monsun Timur Laut, seperti diramal Jabatan Meteorologi.

Langkah sebegini lebih tersusun dan menyeluruh apabila usaha JPBD dalam melaksanakan kerja menyelamat serta penyampaian bantuan di lokasi bencana diselaraskan dengan peranan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada peringkat negeri dan pusat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram