Makanan peket retort tahan 2 tahun bekalan mangsa banjir di semua PPS


  • Primer
  • Khamis, 15 Sep 2022

Dari kiri, Meor Ismail, Wan Noraidah, Shaharudin, Muhammad Helmi, dan Amirurrahim.

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi fokus kepada empat perkara iaitu perlindungan, makanan, kaunseling dan pendaftaran di depoh Pusat Penempatan Sementara (PPS).

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JKM, Wan Noraidah Wan Mohd Zain, berkata, pihaknya mengutamakan kesejahteraan penghuni PPS terutama dalam soal penyediaan makanan.

"Dalam perbincangan dengan Perdana Menteri (PM) pada Isnin lalu, PM meluluskan penggunaan makanan bungkusan retort untuk digunakan di PPS sebagai persediaan awal.

"Makanan ini mampu bertahan selama dua tahun. Jadi sementara menunggung bantuan makanan lain, mangsa boleh menikmati hidangan itu dahulu," katanya kepada Majoriti.

Wan Noraidah ditemui pada majlis Taklimat Program Agensi Teknikal dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bersama Media pada Khamis.

Dalam majlis sama turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Meor Ismail Meor Akim, berkata, PPS akan melaksanakan operasi berskala penuh seperti biasa.

Jelasnya, prosedur operasi standard (SOP) di PPS tidak terlalu ketat berikutan negara dilanda pandemik Covid-19.

"Dahulu makanan diberikan secara pek, tetapi ada aduan yang mengatakan makanan kurang segar (sejuk) dan mudah rosak.

"Oleh itu untuk operasi kali ini, penyediaan makanan akan dilakukan secara gotong-royong manakala pemakaian pelitup muka digalakkan dan tidak mengamalkan penjarakkan sosial," ujarnya.

Pada masa sama acara yang berlangsung di Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) di Selangor itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah; Ketua Pengarah Pengaliran dan Saliran, Datuk Shaharudin Abd Sohot; Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Amirurrahim Mohamed dan Ketua Komunilasi Korporat Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Raziz Rashid. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram