
PENIAGA makanan dan pengusaha restoran di Little India Klang, Selangor perlu memainkan peranan dalam memastikan longkang di kawasan itu bersih serta tidak tersumbat dengan sampah kerana ia boleh mengakibatkan banjir.
“Pekerja pembersihan kami sering mendapati minyak masak terpakai dibuang dalam sistem perparitan Little India,” kata Pengarah Jabatan Perkhidmatan Persekitaran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Zaireezal Ahmad Zainuddin.
“Saya menggesa semua pengusaha restoran menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab ini (membuang minyak masak terpakai ke dalam longkang) kerana ia memberi kesan buruk kepada peniaga lain apabila ia mengakibatkan banjir," katanya.
Zaireezal berkata demikian semasa lawatan ke kawasan tersebut untuk memantau usaha pembersihan oleh MBDK.
Pam sedutan dan jet air tekanan tinggi digunakan untuk mengeluarkan minyak yang terkumpul dalam tangki di persimpangan Jalan Tengku Kelana dan Lorong Tingkat di Klang.
BACA LAGI: 'Ratu contest' gemar doodle di malam hari, anggap lukisan terapi kesihatan mental
“Kami memerlukan kerjasama pengusaha restoran untuk membuang minyak masak terpakai dengan betul,” kata Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MBDK, Abdul Raziq Ahmad Ridzuan yang menyelia pembersihan itu.
Zaireezal berkata, restoran perlu memasang dan menyelenggara perangkap gris bagi menghalang lemak, minyak dan gris (FOG) daripada terus ke dalam longkang di belakang premis mereka.
Perangkap gris yang dipasang di bawah singki berfungsi untuk menapis gris daripada air sisa.
"Pekerja kami telah mengenal pasti FOG sebagai faktor utama yang menghalang air buangan dan air hujan daripada mengalir dengan baik dalam longkang.
"Ini kerana sisa berminyak yang melapisi bahagian dinding longkang dan terapung di permukaan air itu mengakibatkan longkang tersumbat dan aliran balik," kata Zaireezal.
“Beberapa kedai makan didapati mencurah minyak masak terpakai selain membuang sisa makanan ke dalam longkang.
“Akhirnya, longkang tersumbat kemudian berlakunya banjir di sepanjang bahagian Jalan Tengku Kelana, jalan utama Little India,” tambahnya.
Pada 29 September lalu, beberapa bahagian Little India dilanda banjir kilat.
Pengarah Jabatan Kesihatan MBDK, Azmi Muji berkata, pemeriksaan segera akan dilaksanakan di restoran sekitar Little India tidak lama lagi untuk memastikan kedai makan di sana tidak mengabaikan atau gagal memasang perangkap gris.
“Perangkap gris yang menghalang FOG daripada masuk ke dalam longkang telah diwajibkan sejak 2011 dan setiap premis makanan mesti memasangnya sebelum lesen perniagaan dikeluarkan,” ujarnya. — The Star/ EDWARD RAJENDRA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram