DI sebalik desakan untuk membubarkan Parlimen, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke sesi sembah taklimat persiapan menghadapi bencana dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Ampang, Selangor pada Khamis.
Al-Sultan Abdullah tiba di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) bagi mengetahui kesiapsiagaan agensi terlibat untuk menghadapi Monsun Timur Laut 2022/2023 yang dijangka bermula pertengahan November depan dan berakhir pada Mac 2023.
Ketua Setiausaha, Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa), Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah bertanggungjawab dalam menyampaikan sesi taklimat tersebut.
Menurut pegawai Istana Negara yang turut hadir, pihak istana meminta taklimat diberikan agar Seri Paduka dapat melihat persediaan agensi kerajaan untuk menangani sekiranya berlaku bencana banjir besar dalam masa terdekat.
Keberangkatan tiba Seri Paduka pada 10.30 pagi disambut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Taklimat banjir itu berlangsung kira-kira 1 jam 30 minit.
Kunjungan baginda itu menarik perhatian rakyat apabila terdapat asakan daripada parti Umno meminta agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob membubarkan Parlimen untuk tujuan Pilihan Raya Umum ke-15.
Ismail Sabri dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong pada pukul empat petang Khamis sebelum pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram