'Kerja cincai, lumba haram pun tak boleh menang,' bekas pelumba jalanan kini tauke bengkel, mampu gajikan pekerja lebih RM3,000 sebulan


  • Bizz
  • Rabu, 09 Okt 2024

Zamani (gambar kiri)mula membina MAG Auto Garage sejak 2002.

"KALAU buat cincai, nak lumba memang kita tak boleh menang. Walaupun lumba itu lumba haram."

Demikian kata Zamani Baharom,56, pemilik kepada syarikat bengkel automotif, MAG Auto Garage.

Beliau yang juga bekas kakitangan di kilang Proton Holdings Bhd (PROTON) dekat Shah Alam, Selangor menyorot kembali tempoh sewaktu dirinya terlibat dalam aktiviti lumba jalanan di sekitar Lembah Klang ketika muda.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Menurutnya, sama seperti pemuda lain pada waktu itu, dia turut terjebak sebagai pelumba jalanan disebabkan minatnya mendalam terhadap bidang automotif.

"Waktu itu walaupun tidaklah serius sangat, tapi boleh dikatakan tegar. Macam budak-budak nakal yang lain. Hari-hari lumba dekat jalan.

"Macam-macam jenis perlumbaan saya terlibat," katanya yang berkhidmat bersama Proton selama 11 tahun sebelum mewujudkan MAG Auto Garage pada 2002.

446805698_7976091025769257_3054128597526776068_n

Zamani (kiri) memberikan penjelasan mengenai mesin yang digunakan di bengkelnya. — MAG Auto Garage

Meskipun tidak mahu terlalu mengingat kepada tempoh tersebut, Zamani yang berasal dari Alor Gajah, Melaka bagaimanapun mengakui pendedahannya terhadap aktiviti tersebut secara langsung melatih dirinya untuk lebih berdisplin khususnya dalam penyediaan kereta sebelum perlumbaan.

"Itulah proses yang sebenarnya melatih diri kita lebih berdisiplin daripada segi kerja. Sebab kalau buat cincai, tak ada disiplin, bila kita nak berlumba memang tak boleh menang. Jadi, berlumba itu sebenarnya melatih saya sendiri dengan banyak aspek positif.

"Pertama, kita kena teliti. Ialah nak menang kenalah buat elok-elok. Kedua mesti tepat masa. Tak boleh terhegeh-hegeh apa semua cakap nanti. Pukul berapa nak berlumba, waktu itu mesti dah bersedia dan sampai. Kalau lewat polis datang.

"Jadi, waktu itu kita memang dah sedar bahawa penjadualan dan disiplin itu memang penting," ujarnya.

Mengimbau kembali detik awal dia menceburi bidang, Zamani berkata, dia pada awalnya berjinak-jinak menjadi pembaik pulih kereta sejak dia masih bekerja bersama PROTON sebagai usaha bagi mencari pendapatan tambahan.

Bagaimanapun, selepas meninggalkan pekerjaan di syarikat kereta nasional itu dengan jawatan terakhir sebagai penyelia, Zamani menumpukan perhatian sepenuhnya membina bengkel automotifnya dengan yang pertama dibuka di Senawang, Negeri Sembilan.

445423800_7945173868860973_7371129612139865524_n (1)

Antara kakitangan yang bertugas di bengkel MAG Auto Garage. — MAG Auto Garage

Kini, selepas lebih dua dekad, selain lima unit kedai bengkelnya di Senawang, MAG Auto Garage turut beroperasi di dua negeri lain menerusi satu bengkelnya masing-masing di Shah Alam, Selangor dan Ayer Keroh, Melaka.

Menurut Zamani, beliau berkata, pendedahannya terhadap dunia automotif membolehkannya melihat terhadap peluang yang wujud dalam industri tersebut.

"Saya nampak peluang dalam automotif ini begitu luas. Bukan sekadar kereta lumba dan ubah suai kereta sahaja. Jadi saya nampak bukan satu sudut sahaja yang boleh menjana pendapatan.

"Ia sebenarnya luas. Daripada segi alat ganti, pembaikan dan juga pertukaran teknologi. Malah sebenarnya kita juga boleh bawa teknologi baharu dan mengajar," ujarnya.

Pada ketika ini, Zamani berkata, selain pembaikan kenderaan, MAG Auto Garage turut menyediakan perkhidmatan diagnosis kenderaan, penalaan atau tuning dan pembekalan mesin yang digunakan di bengkel.

Malah, bengkelnya juga kini dilantik sebagai pengedar rasmi mesin Dyno Dynamics Australia untuk empat negara termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.

447220407_7976088982436128_3850890671639479710_n

Bengkel MAG Auto Garage yang beroperasi di Senawang, Negeri Sembilan. — MAG Auto Garage

"Kalau nak kata pelaburan, daripada segi mesin sahaja kita labur dekat RM2 juta melalui pinjaman daripada institusi kewangan seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan SME Bank.

Menurut Zamani, MAG Auto Garage mempunyai misi untuk sentiasa menjadi pihak yang paling hadapan khususnya daripada segi penyediaan teknologi automotif di dalam negara.

Tambahnya, beliau juga mahu mengubah tanggapan sesetengah pihak terhadap perniagaan bengkel khususnya dalam kalangan Bumiputera yang dianggap statik dan sukar untuk maju.

"Sebab kadang-kadang maaf cakap. Kalau kita tengok bengkel Bumiputera, keadaan bengkel itu mesti lebih kurang. Asal ada sahaja," katanya.

Sedia peluang latihan kemahiran

Dalam pada itu, Zamani berkata, dengan pengalaman lebih dua dekad dalam industri bengkel automotif, MAG Auto Garage kini turut menyediakan program latihan termasuk kepada graduan yang memerlukan peningkatan kemahiran selari dengan keperluan industri.

Ujarnya, setakat ini, seramai kira-kira 1,000 pelatih sudah mengambil bahagian dalam program latihan yang disediakan dan menjadi pekerja mahir.

430991736_7566370316741332_1259520052908413709_n

MAG Auto Garage turut menyediakan program latihan untuk peningkatan kemahiran dalam bidang automotif. — MAG Auto Garage

"Jadi kita bangunkan mereka ini mengikut acuan industri termasuk yang ada ijazah sarjana muda dalam bidang automotif. Sebabnya kadang-kadang apa yang diajar kepada mereka ini tidak menepati keperluan industri daripada segi pendedahan terhadap alatan dan fasiliti.

"Kemudian kita juga dah mula terapkan kemahiran untuk mengendalikan kenderaan elektrik (EV) contohnya," kata beliau.

Menurut Zamani, kemahiran yang diperolehi itu juga secara langsung membolehkan pelatih mendapat peningkatan gaji selari dengan kompetensi yang ditunjukkan.

Ujarnya, di bengkelnya, rata-rata daripada individu yang berkhidmat sebagai jurutala atau tuner memperoleh pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM3,000.

"Jadi sebenarnya di bengkel ini ada banyak segmen mesin dan pekerjaan. Apabila dia memenuhi kompetensi itu, di situlah tangga gaji dia orang tu automatik akan meningkat," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram