[VIDEO] Gajah buta, Ploy Thong antara terkorban tak sempat diselamatkan lepas banjir landa Thailand


  • Benua
  • Isnin, 07 Okt 2024

Tangkap layar video tular memaparkan Ploy Thong (bulatan merah) bergelut untuk mengikuti kawanannya ketika proses pemindahan.

BANJIR kilat melanda kawasan perlindungan gajah popular di utara Thailand pada Khamis minggu lepas mengorbankan dua ekor gajah dan memaksa pemindahan kira-kira 100 lagi mamalia tersebut bersama-sama puluhan pelancong.

Video dan imej tular di media sosial memaparkan suasana cemas di Elephant Nature Park, terletak berhampiran bandar Chiang Mai yang menyaksikan puluhan gajah mengharungi banjir untuk berada di kawasan selamat lebih tinggi.

“Ia adalah pemindahan terbesar yang pernah kami lakukan untuk menyelamatkan nyawa mereka, air naik dengan cepat,” kata pengasas Elephant Nature Park, Saengduean “Lek” Chailert sambil menyifatkan kejadian banjir paling tersebut sebagai paling teruk pernah dialami taman itu.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Klip tular memaparkan usaha kakitangan taman terbabit didengar menjerit ke arah gajah dan meminta ia keluar dari kandang dan mengharungi air banjir.

Walaupun kebanyakan haiwan itu menemui perlindungan di gunung berhampiran selama semalaman pada Khamis minggu lepas, namun risiko terhadap nyawa gajah terbabit masih belum surut.

“Ada beberapa haiwan yang tidak dapat kami pindahkan semalam. Tiga belas gajah dewasa masih terperangkap di kawasan mereka. Mereka panik,” kata Saengduean.

Salah satu daripada dua gajah yang mati ialah Ploy Thong, iaitu seekor gajah yang buta, kata Saengduean pada Sabtu. Dua lagi masih hilang.

“Hati saya hancur. Mereka dihanyutkan air banjir di depan mata saya,” kata Saengduean kepada CNN.

Dalam pada itu, Ploy Thong yang buta dilaporkan bergantung sepenuhnya kepada bunyi dikeluarkan kawanan gajah daripada kumpulannya untuk bergerak.

Rakaman usaha memindahkan Ploy Thong turut tular di media sosial.

Menerusi video terbabit, gajah malang tersebut dilihat berada di bahagian paling belakang sebuah kawanan mamalia tersebut yang sedang bergerak mengharungi banjir.

Meskipun bergelut, Ploy Thong bagaimanapun akhirnya dilihat berjaya menyertai semula kawanan tersebut pada ketika itu.

"Gajah terakhir yang selamat dalam video ini, Ploi Thong, buta sepenuhnya dan bergantung pada bunyi kawanannya untuk bergerak," tulis sighyam di laman X pada Sabtu.

Namun, Ploy Thong kemudiannya dilaporkan terkorban akibat dihanyutkan air banjir.

Bahagian Utara Thailand mengalami banjir dan tanah runtuh teruk sejak beberapa minggu kebelakangan ini akibat hujan lebat dibawa oleh Taufan Yagi, ribut paling kuat melanda Asia pada tahun ini.

Pihak berkuasa di Chaing Mai, iaitu destinasi pelancongan popular di Thailand mengeluarkan amaran kemungkinan banjir apabila paras air di sepanjang Sungai Ping, yang mengalir melalui bandar, mencapai paras berbahaya.

Dengan banjir besar di sekitar kawasan pusat perlindungan tersebut masih berada di paras bahaya, Saengduean berkata, mereka berdepan prospek yang tidak diingini apabila terpaksa memindahkan haiwan untuk kali kedua.

"Keadaan ini jauh lebih teruk daripada semalam," katanya pada Sabtu sambil menambah bahawa dia telah meminta bantuan segera daripada pihak berkuasa Thailand.

Ujarnya, keutamaan ketika ini adalah mendapatkan bot supaya penjaga boleh tinggal bersama gajah yang tinggal di taman untuk memastikan mereka kekal tenang.

"Kami memerlukan sukarelawan dan sangkar haiwan dengan segera kerana kami mesti memindahkan haiwan itu ke pergunungan kerana jalan raya terputus sepenuhnya di kedua-dua arah," kata taman itu dalam catatan di Facebook.

Kira-kira 30 sukarelawan asing turut terperangkap di tempat perlindungan itu, termasuk lima warga Amerika Syarikat yang sebahagiannya telah bekerja di taman itu selama beberapa minggu, kata Saengduean.

6062048998174343144

Pemandangan tempat perlindungan gajah yang ditenggelami air di Chiang Mai, Thailand. — Elephant Nature Park

The Elephant Nature Park merupakan pusat menyelamat dan pemulihan gajah di kawasan luar bandar Chiang Mai yang sudah menyelamatkan lebih 200 ekor gajah daripada industri pelancongan dan pembalakan sejak penubuhannya pada 1990-an.

Ia juga menjalankan program lawatan dan sukarelawan yang membolehkan pelawat melihat atau membantu kerja pemuliharaan haiwan terbabit.

Kebanyakan gajah ditempatkan di taman terbabit adalah dalam keadaan buta atau mengalami kecederaan fizikal yang menghalang keupayaan mereka untuk melarikan diri dan menyebabkan usaha pemindahan menjadi rumit.

“Antara haiwan yang dipindahkan, terdapat banyak gajah yang sakit, ada yang hampir tidak boleh berjalan. Kami terpaksa membantu mereka untuk sampai ke kaki gunung. Kami sangat memerlukan bantuan,” kata Saengduean.

Selain gajah, taman itu menempatkan kira-kira 5,000 haiwan yang diselamatkan termasuk anjing, kucing, kuda, babi dan arnab - sebahagian daripadanya telah dipindahkan sejak beberapa hari kebelakangan ini selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran banjir.

Ketua Jabatan Taman Negara Thailand, Atthapol Charoenchansa, berkata, puluhan pegawai dihantar tetapi tidak dapat sampai ke taman itu kerana jalan yang dinaiki air.

Atthapol berkata, mereka amat memerlukan bot dan sukarelawan untuk membantu memindahkan haiwan yang tinggal.

Gajah yang merupakan haiwan kebangsaan Thailand, telah menyaksikan penurunan populasi liarnya sejak beberapa dekad kebelakangan ini kerana ancaman pelancongan, pembalakan, pemburuan haram dan pencerobohan manusia ke atas habitat gajah.

Pakar menganggarkan populasi gajah liar di Thailand telah berkurangan kepada 3,000 hingga 4,000 daripada lebih 100,000 pada awal abad ke-20. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram