SEJAK penubuhannya 1972, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terus memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat awam melalui inisiatif kebajikan dan memberi pertolongan ketika bencana.
Ia sekali gus menunjukkan walaupun anggota tentera tersebut telah bersara namun mereka terus berbakti pada masyarakat sehingga hujung nyawa.
Terbaharu, LTAT bersama-sama kumpulan syarikat Boustead Plantation Berhad (BPlant), Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) dan Pharmaniaga Berhad telah bekerjasama memberi bantuan kepada mangsa terjejas akibat banjir di Kedah.
Seramai 1,400 mangsa yang terjejas di lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kota Setar, Kedah, menerima pelbagai bantuan termasuk makanan dan keperluan asas kebersihan.
Sebanyak lebih 800 pek keperluan telah diagihkan, termasuk makanan dan keperluan asas kebersihan, disesuaikan dengan keperluan segera keluarga yang dipindahkan.
Usaha tersebut juga merupakan sebahagian daripada misi bantuan yang diselaraskan antara Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan PPS di Kota Setar, memastikan bantuan sampai kepada keluarga dengan selamat.
Pergerakan pantas daripada pihak LTAT juga sekali gus memberi kelegaan yang diperlukan sekali gus meringankan beban keluarga-keluarga mangsa banjir.
Pada masa sama, sebagai salah satu institusi penting negara, LTAT menunjukkan komitmen yang tinggi dalam membantu meringankan beban mangsa banjir melalui pelbagai inisiatif bantuan kemanusiaan.
Dengan peranan penting yang dimainkan LTAT dalam membantu mangsa banjir, organisasi ini terus memperkukuh komitmennya terhadap kesejahteraan rakyat dan negara, melangkaui tugas utamanya sebagai tabung simpanan anggota tentera. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram