[VIDEO] Tak perlu gimik terpekik-pekik, budak sekolah 'ajar' fasilitator IPTA kawal majlis


  • Tular
  • Sabtu, 05 Okt 2024

Kekecohan fasilitator di sebuah IPTA (kiri) membuatkan orang ramai beranggapan pelajar sekolah dapat mengawal majlis dengan lebih baik.

BEBERAPA hari kebelakangan ini, kecoh di media sosial memperkatakan mengenai sikap sesetengah fasilitator yang mengendalikan sesi Minggu Destinasi Siswa (MDS) di sebuah universiti awam.

Dalam beberapa video tular, kelihatan kira-kira tiga orang daripada mereka melakukan kekecohan ketika mahasiswa dan mahasiswi berada di dalam dewan dengan masing-masing senyap semasa menunggu program yang ditetapkan untuk dimulakan.

Kekacauan itu bagaimanapun berakhir dengan sambutan hari jadi salah seorang fasilitator terlibat. Malah, penuntut yang dalam keadaan tercengang terpaksa menyanyikan lagu sambutan buat fasilitator terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] Kor Armor Diraja pamer tarian etnik Borneo, persembah lagu Jambatan Tamparuli di bumi Korea

BACA LAGI: [VIDEO] 'Teringat ayah kat rumah', pemandu minta orang ramai 'support' pakcik berniaga air kelapa di Klang

Situasi berkenaan mencetuskan rasa kurang senang daripada orang ramai yang jelas kecewa dengan sikap dan profesionalisme ditunjukkan kerana ia hanya mengganggu majlis selain menyimpang daripada objektif sebenar minggu orentasi.

Malah, bagi pengguna media sosial lain, mereka melihat terdapat pelajar sekolah yang dapat mengendalikan sesuatu majlis dengan lebih tersusun tanpa perlu melakukan kekecohan sebagai tanda gimik.

Contoh terbaik dapat disaksikan adalah dalam satu video tular baru-baru ini memaparkan pelajar Sekolah Kebangsaan Pemberian, Kuala Krai, Kelantan yang dapat menimbulkan perasaan sebak tanpa menjejaskan suasana majlis perpisahan guru besar.

Dalam rakaman dimuat naik di akaun TikTok Zaiton Othman, seorang pelajar lelaki yang pada awalnya duduk bersama rakan-rakannya menyampaikan lagu Langkah Seiringan nyanyian kumpulan Exist.

Lagu dipilih itu jelas sesuai dengan majlis berkenaan memandangkan bait-bait lirik menceritakan bagaimana seseorang masih teringat akan kenangan selepas sudah berpisah.

Nyanyian itu disampaikan dengan cukup beremosi apabila murid tersebut serta guru besarnya gagal menahan sebak ketika masing-masing saling berpelukan di hadapan pelajar lain.

Tidak cukup dengan itu, pelajar tersebut juga sempat menyampaikan sekuntum bunga ros buat guru lelaki berkenaan yang difahamkan bakal berpindah ke sekolah sekitar Kuala Krai, Kelantan dalam masa terdekat.

Berdasarkan klip berdurasi dua minit tujuh saat itu, ia sudah cukup untuk menceritakan bagaimana gimik dipilih boleh memberi kesan terhadap majlis dengan masing-masing tidak perlu membuat kekecohan untuk mencuri perhatian.

Pendekatan dipilih murid berkenaan juga wajar dicontohi mana-mana pihak yang menganjurkan sebarang acara kerana ia bukan sahaja dapat menaikkan lagi perasaan, malah dapat meninggalkan kenangan manis buat individu diraikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram